KUALA LUMPUR,  Kerajaan tidak boleh mementingkan golongan atasan sehingga menyebabkan rakyat bawahan menderita dan merasa diri mereka tidak terbela dalam isu bauksit yang berlaku di Kuantan, Pahang


Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin menegaskan bahawa kejadian membakar lori-lori bauksit di Kuantan itu satu petanda yang perlu dipandang serius.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut berterusan dan merebak maka satu negara tidak terkawal lagi.

“Saya bimbang rakyat mula hilang keyakinan dengan sistem keadilan dalam negara sehingga mereka mula bertindak sendiri.

“Rakyat bawahan akan berkeyakinan bahawa hanya mengambil undang-undang di tangan sendiri sahaja yang dapat membela diri dari dizalimi,” katanya menerusi akaun Facebooknya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan nekad penduduk di Kuantan yang membakar lori bauksit gara-gara kecewa dengan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah itu di Pahang baru-baru ini.

Tambah Asri, setiap pihak berhak untuk berniaga dan membuat keuntungan dengan syarat tidak menzalimi pihak yang lain.

Jelasnya, sikap mementingkan keuntungan sendiri sehingga menyakiti pihak lain adalah satu kezaliman.

“Simpati saya kepada penduduk Kuantan, juga mereka yang terkesan dari keuntungan bauksit yang diperolehi oleh pihak tertentu. Orang lain membuat untung, rakyat bawahan mendapat derita.

“Penguasa hendaklah sedar bahawa urusan pengurusan di dunia ini tidak berakhir di sini, tetapi akan dibawa ke mahkamah Allah pada Hari Kiamat kelak dan oleh itu kerajaan wajib bertindak segera mengatasi masalah ini,” tegasnya.