KUALA LUMPUR,  Berlubang, berlekuk dan turapan yang tidak rata menghiasi jalan raya Kuala Lumpur pada alaf baharu ini.

Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia meluahkan bahawa dirinya ‘sakit leher’ kerana setiap hari geleng kepala apabila melalui jalan raya di ibu negara.

“Bak kata bahasa pasar, sudah berbuih mulut bercakap soal kualiti jalan raya di Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur.

“Itu belum menyentuh nahas melibatkan penunggang motosikal disebabkan hal yang sama,” katanya.

Menurut Awang, di negara Barat, jika sesiapa yang menjadi mangsa nahas seumpama itu menyaman pihak berkuasa, peluang untuk menang kes adalah besar.

Ujarnya, berdasarkan pemerhatian, sebahagian jalan raya diturap beberapa kali setahun hanya disebabkan gejala korek dan timbus oleh syarikat-syarikat utiliti.

“Bayangkan berapa banyak wang pembayar cukai mengalir keluar disebabkan kepincangan ini dan siapa yang mengaut keuntungan besar?

“Harap-harap Pasukan Petugas Khas di pejabat Peguam Negara dapat melihat isu tersebut dan mengambil tindakan penyelesaian terbaik sebelum pusingan ganas ini makin memudaratkan negara kita,” katanya lagi.

Beliau juga turut mempersoalkan peranan yang dimainkan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak berkuasa tempatan lain dalam menangani isu kualiti jalan raya.

“Awang ingin bertanya apa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Datuk-Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan yang lain buat?

“Rajinlah buat lawatan mengejut terutama di laluan yang rakyat selalu gunakan.

“Kalau isu kualiti jalan raya yang merupakan perkara asas tidak mampu ditangani, lupakan saja impian mahu menjadikan Kuala Lumpur kota metropolitan bertaraf dunia. Malu,” jelasnya.


Terdahulu, sekumpulan aktivis yang menggelar diri mereka Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) wajar diangkat sebagai wira kerana komited membantu menangani masalah jalan berlubang dan tidak berkualiti di Lembah Klang.

Awang Selamat berkata sejak lapan tahun lalu, Brotherhood yang diketuai oleh pengasasnya, Azlan Sani Zawawi menjadi suara pendesak dalam memastikan jalan raya kita berkualiti demi bakti mereka kepada masyarakat.

Malah katanya, bukan setakat itu, mereka juga terlibat aktif dalam menurap jalan yang rosak dan berlubang terutama yang berbahaya kepada para penunggang motosikal