Jumaat, 4 Disember 2015

Hishammudin Rais dihalang keluar negara

Anne Muhammad


 


Aktivis politik Hishamuddin Rais dihalang sewaktu mahu menaiki pesawat ke Seoul, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Beliau hanya dimaklumkan oleh pegawai imigresen bahawa dia dihalang kerana mempunyai kes baru.

Bingung dengan kes apa yang dimaksudkan oleh pegawai tersebut, beliau menggesa agar kerajaan menjelaskan atas alasan apa dia dihalang.

“Saya dihalang untuk keluar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya nak ke Seoul Korea pesawat jam 11.30 malam.

“Sebab apa saya dihalang itu, saya nak tanya kerajaan Malaysia kenapa Hishamuddin Rais dihalang keluar dari negara ini, kerajaan kena jawab,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, beliau ke Korea atas jemputan sebagai pemantau program hak asasi di sana selama dua hari.

“Saya ke Korea atas jemputan sebagai pemantau program hak asasi di korea. Acara itu pada hari Sabtu dan Ahad.

“Bila halang saya, saya tidak dapat jalankan tugas saya,” katanya.

Jelasnya, pada tahun 2013 dan 2014 beliau telah pergi ke London tanpa sebarang sekatan.

Menurutnya lagi, antara kes yang sedang dihadapinya dalam masa terdekat ialah perlu menghadiri perbicaraan kes Akta Hasutan pada Januari tahun depan.


Tiada ulasan: