KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan sudah menjelaskan mengenai dana RM2.6
bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pihak
pembangkang masih belum berpuas hati dengan penerangan berkenaan.
Menurut Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, pembangkang sememangnya
kecewa dengan penerangan itu biarpun telah dijelaskan oleh Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat awal
hari ini.
"Saya tidak terkejut langsung malah saya tidak ambil serius, apabila
beberapa minggu lalu dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata bahawa dia
akan menjawab segala soalan mengenai RM2.6 bilion ini, malah kenyataan
hari ini bukan kenyataan beliau.
"Datuk Seri Zahid datang ke Parlimen untuk membaca kenyataan peribadi
Perdana Menteri tak sama macam YB Nurul Izzah tadi walaupun dia
menggunakan peraturan dewan yang sama tetapi Nurul Izzah kenyataan dia
sendiri PM tadi kenyataan dibaca oleh TPM seolah-olah jawapan bagi
kelakuan kerajaan", katanya di luar Dewan Rakyat.
Perkara sama turut disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau menggesa Najib memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai isu tersebut.
"Tidak ada apa-apa pun penjelasan, jawapan itu telah memberi kehampaan
kepada kami, kerana kami tunggu begitu lama. Hari ini hari terakhir di
Parlimen, kita dijanjikan jawapan tapi jawapan bukan merupakan jawapan.
Ini satu helah, subjudis, langsung tidak memuaskan", katanya.
Zahid hari ini memikul tanggungjawab untuk memberikan penjelasan
mengenai isu dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun
peribadi Najib dihadapan semua Ahli Parlimen.
Beliau dalam pada itu memberitahu Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali
menasihatkan Najib untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada
mana-mana pihak kerana ia masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan