Salah untuk menganggap wanita hanya mampu menguruskan rumah tangga dan kuasa politik hanya terletak kepada kaum lelaki.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak mustahil Malaysia memilki Perdana Menteri wanita yang pertama pada satu hari nanti jika rakyat mengubah persepsi terhadap kemampuan kaum wanita.
Beliau berkata, adalah salah untuk menganggap kaum wanita hanya mampu menguruskan rumahtangga dan kuasa politik hanya terletak kepada kaum lelaki.
Katanya, persepsi sebegitu perlu dihakis dalam pemikiran masyarakat jika mahu melihat lebih ramai kaum wanita terlibat dalam pentadbiran negara ini kerana lelaki dan wanita mempunyai hak sama rata dalam politik, pentadbiran dan kepimpinan.
“Adat atau pemikiran yang mengatakan wanita menguruskan rumah tangga dan ia merupakan tugas hakiki yang perlu dilakukan mereka perlu diketepikan.
“Kedua-dua kaum lelaki dan wanita perlu faham bahawa ia adalah tanggungjawab bersama dan lelaki perlu belajar untuk berkongsi.
“Jadi apabila pemikiran ini dapat diubah, barulah kaum wanita boleh bergerak ke hadapan dan mungkin satu hari nanti boleh melihat adanya Perdana Menteri wanita di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita dan Politik ASEAN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) pada Sabtu.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan