Ahad, 18 Oktober 2015

Loy Sian kemuka undi tidak percaya

 
Usul itu kemungkinan tidak sempat dibentang kerana diletak dalam susunan ke-25 daripada 28 usul keseluruhan.


Hee-Loy-Sian,najib-razak


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengemukakan notis kepada Parlimen untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Notis itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Usul itu bagaimanapun mungkin tidak sempat dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan bermula Isnin ini kerana diletak dalam susunan ke-25 daripada 28 usul keseluruhan.

Sidang Parlimen yang terakhir tahun ini akan menyaksikan pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri.

Dalam notis itu, Loy Sian mencadangkan;

“Bahawa Dewan ini mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan “Wang Derma” berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.

“Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma” ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force” yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Public Account Committee (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.

“Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap Kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat. Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap Perdana Menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri.”

Tiada ulasan: