KUALA LUMPUR,  Peguam Matthias Chang yang juga bekas pembantu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya bersuara berhubung penahanannya atas dakwaan cubaan mensabotaj perbankan dan kewangan negara berikutan lima kunjungannya ke balai polis dan pejabat peguam di luar negara.


Hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-t, berseluar pendek dan berambut pendek, Chang hari ini meminta mahkamah untuk menjelaskan dakwaan ke atasnya yang dibuat di bawah Seksyen 124 (L) Kanun Keseksaan.

Beliau dibawa ke mahkamah bersama bekas Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan dari Penjara Sungai Buloh untuk menghadiri prosiding mahkamah.

“Tuduhan dibacakan ke atas saya dan anak guam saya oleh Majistret, di mana kami berdua telah mengunjungi lima lokasi termasuk empat balai polis dan satu pejabat peguam, bagaimana kunjungan itu menjadikan kami boleh didakwa di bawah Seksyen 124 (L).

“Saya telah menjadi peguam selama 29 tahun, saya keliru bagaimana kunjungan untuk menemani anak guam saya bagi menjalankan tugas guaman membawa kepada akibat guaman.

“Saya terkejut apabila Timbalan Pendakwaraya membuat pendakwaan di bawah Seksyen 124 (L),” katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Chang memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin bahawa beliau dan Khairuddin masih keliru hingga hari ini bagaimana lawatan termasuk dalam bidang kuasa tuduhan itu.

Beliau bercakap secara ringkas ketika pendengaran permohonan kedua-dua tertuduh itu untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membawa pendakwaan mereka ke Mahkamah Sesyen untuk hak mereka mendapatkan ikat jamin.

Kedua-dua mereka didakwa pada 12 Oktober lalu kerana cubaan mensabotaj perbankan dan kewangan negara antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun ini di beberapa lokasi termasuk balai polis di Paris, Switzerland, Hong Kong, London dan Singapura.