BN mengakui masih belum mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum je-14 (PRU14) akan datang.
Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin berkata kebanyakan golongan itu masih tidak berani membuat keputusan dan merupakan pengundi kali pertama.
"Daripada penilaian kita juga pemuda Umno dan BN, kumpulan pengundi muda ini sangat-sangat di atas pagar. Ini maksudnya mereka belum lagi buat apa-apa keputusan.
"Ada di kalangan mereka mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan Malaysia di Kuala Lumpur.
Khairy diminta mengulas mengenai kajian badan bebas Ilham Centre bahawa tiada mana-mana parti politik kini berani mendakwa mendapat sokong pengundi muda.
Tambah Khairy, pemuda BN juga telah membuat kajian dan hasilnya sama seperti kajian yang Ilham Centre.
Khairy bagaimanapun berkata, Pemuda BN sudah bersiap sedia dan mempunyai strategi tersendiri untuk menarik minta golongan muda menyertai mereka dalam pilihan raya akan datang.
Pengundi 'terapung'
Semalam Astro Awani melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hishammuddin Bakar berkata sehingga kini, tiada mana-mana parti politik berani mendakwa mendapat sokongan blok pengundi muda.
Hishammudin menambah pengundi muda yang pertama kali mengundi, mempunyai penilaian yang lebih luas.
"Ini dikatakan pengundi yang terapung yang mana kita tak tahu apungan menuju ke arah mana, kerana mereka mengundi atas dasar rasional, mereka tidak lagi mengundi atas dasar kekuatan parti, mereka menilai segmen lebih besar seperti isu, sentimen dan persepsi.
"Ruang untuk pengundi muda masih terbuka luas dan ia kini bergantung kepada strategi parti politik bagi menjuarai persepsi kelompok ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan