IKHWAN HAZWAN
Jerebu yang tebal menahan cahaya matahari untuk sampai ke daun-daun hijau sekaligus merencatkan tanaman. Foto Fail TRP
KUALA LUMPUR, Keadaaan berjerebu berpanjangan dilihat memberi kesan secara langsung kepada proses pertumbuhan sayur-sayuran dan juga pengeluaran di pasaran dalam negara.
Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Ku Halim Ku Hamid berkata jerebu yang tebal
menahan cahaya matahari untuk sampai ke daun-daun hijau yang memerlukannya untuk proses fotosintesis (membuat makanan).
Menurutnya, partikel halus jerebu yang
tidak diketahui sejauh mana bahayanya juga pasti akan jatuh ke atas
sayur-sayuran dan sudah pasti kawasan pertanian berhadapan dengan risiko
yang cukup tinggi.
“Kita tidak tahu tahap keseriusan habuk
halus berkenaan dan apabila ia jatuh ke sauran berkenaan sudah pasti
sekiranya tidak dicuci dengan baik akan memberikan kesan kepada
kesihatan orang ramai.
“Di samping itu, disebabkan kekurangan
cahaya matahari maka proses fotosintesis sukar untuk berlaku dan
pokok-pokok buah-buahan dan sayuran hijau akan mengalami kerencatan dan
sekaligus menjejaskan pengeluaran para petani,” katanya kepada The
Rakyat Post.
Tambah
Ku Halim, haiwan ternakan juga tidak terlepas daripada terkesan dengan
jerebu kerana mereka juga memerlukan perlindungan sama seperti manusia.
Namun begitu jelasnya, kebanyakan
daripada pusat dan ladang-ladang ternakan di negara ini tidak mempunyai
sistem yang khusus untuk melindungi haiwan-haiwan tersebut.
“Mereka sangat terdedah kepada jerebu kalau tidak ada tempat sesuai untuk berlindung.
“Haiwan-haiwan ini selalunya berada di
kandang yang terbuka dan tidak mempunyai kelebihan seperti manusia yang
boleh berada dalam bilik berhawa dingin dan boleh memakai topeng muka
untuk berlindung daripada jerebu,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan