Oleh Ermizi Muhamad
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu (Himpunan Merah) berbanding kenyataan polis sebelum ini.
Polis sebelum ini mengesahkan, himpunan tersebut mendapat permit dan kebenaran polis.
Bagaimanapun KDN melalui Menterinya, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam sesi soal jawab di Parlimen semalam, mengeluarkan kenyataan berbeza.
Zahid berkata, polis telahpun membuka siasatan terhadap penganjuran himpunan itu dan mendakwa tidak mengetahui tujuan penganjurannya.
Ini juga bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membenarkan ahli Umno menyertai Himpunan Merah.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, percanggahan itu seolah-olah disengajakan dan mendakwa ia tidak dipertangungjawabkan di bawah seliaan polis.
“Polis kata perhimpunan ini tidak diharamkan sebab ada permit, tapi Menteri dalam jawapan balasnya menyatakan pihak polis tak tahu tujuannya diadakan.
“Sedangkan kalau betul dapat permit dan kelulusan, mestilah pihak polis juga tahu motif tujuan himpunan itu. Ini menimbulkan persoalan,” tegasnya pada sidang media di lobi Parlimen pagi ini.
Lip Eng berkata, percanggahan tersebut juga membuktikan wujud cubaan menyembunyikan sentimen perkauman dalam perhimpunan yang dianjurkan Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Mohd Yunos.
“Nampaknya perkara ini seolah-olah dilawakkan dan sesuatu yang tidak masuk akal. Sedangkan secara jelas himpunan itu bersifat perkauman.
“Tapi sekarang banyak percanggahan dan kenyataan dipusing untuk sembunyikan agenda sebenar himpunan itu,” kata Lip Eng.
Terkini, dilaporkan, polis telah menyoal siasat Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, dan enam yang lain berhubung protes anti Kerajaan Selangor di Ampang, Ahad lalu.
Jamal bagaimanapun berkata, kumpulannya itu akan terus mengadakan perhimpunan di Subang Jaya 8 November ini, diikuti Kelana Jaya, dan seterusnya perhimpunan sekali setiap bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan