Rabu, 14 Oktober 2015

DAP ada cara lain selain undi tak percaya?

Anthony Loke


SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang belum mencapai sebarang keputusan dalam rundingan untuk 'sabotaj' undi bagi meluluskan Bajet 2016 yang bakal dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan antara parti pembangkang lain sebagai satu alternatif jika undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu gagal dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat minggu depan.

"Sebenarnya selain usul undi tak percaya itu, undian Bajet 2016 pun boleh dilakukan. Kalau tidak dapat diluluskan bajet itu, bermakna Najib akan hilang kepercayaan.

"Ada, tapi perbincangan akan diteruskan," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang menegaskan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhak memutuskan sama ada usul undi tidak percaya boleh dilakukan atau tidak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gugur Najib: Tidak boleh buat undi tidak percaya]

Razaleigh berkata, Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul sekiranya ia tidak berada dalam urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat di Parlimen.

Dalam pada itu, Anthony juga berkata, undi tidak percaya kepada Bajet 2016 adalah salah satu usaha terbaik untuk menurunkan Najib dari pentadbiran Putrajaya.

"Ya (cadangan itu boleh dipertimbangkan) ia salah satu cara, tetapi kita belum lagi capai membuat keputusan.

"Kita akan teruskan perbincangan sehingga hari yang betul untuk buat keputusan itu," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, usul tidak percaya terhadap kerajaan kini menjadi persoalan politik dalam mendapatkan majoriti undi termasuk daripada Ahli Parlimen BN yang menentang Najib.

"Usul tidak percaya, sesiapa pun boleh kemukakan, bila-bila masa boleh dikemukakan, cuma sekarang ini persoalannya ialah bilangan Ahli Parlimen untuk meluluskan usul tersebut.

"Sekarang ini bukan soal teknikal lagi, sekarang ini soal politik, sama ada ada tak ahli Parlimen dari BN yang berani tampil ke depan," katanya lagi.


Tiada ulasan: