shahbudindotcom
Apabila
Muhyiddin Yassin termasuk dalam senarai tujuh pemimpin yang
mengeluarkan kenyataan bersama mengecam penggunaan undang-undang Sosma
kepada penentang kerajaan, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Abdul
Rahman Dahlan pantas melakukan kritikannya terhadap Timbalan Presiden
UMNO itu.
Dalam
hujahnya, beliau mengingatkan bahawa Muhyiddinlah yang ketika itu Ketua
Whip BN yang bersungguh-sungguh memastikan semua wakil rakyat parti itu
mengundi bagi kelulusan Sosma di Parlimen.
Menulis
di twitternya, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, "Sosma adalah lebih baik
daripada ISA. Malah bekas Ketua Whip BN, TSMY memastikan semua Ahli
Parlimen BN termasuk Ahli Parlimen Semporna mengundinya di Parlimen."
Abdul
Rahman turut mempertahankan Sosma yang menurutnya lebih memberi peluang
kepada pesalahnya melihat nasib mereka ditentukan di mahkamah
berhanding ISA, selain menyindir pemerintahan 22 tahun Tun Mahathir
Mohamad yang penuh warna warni serta menimbulkan "budaya ketakutan yang
tidak dinafikan".
Semalam
Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal,
Tun Ling Liong Sik, Ong Tee Keat dan Sanusi Junid mengeluarkan kenyataan
bersama mengecam penahanan Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang di
bawah Sosma yang dianggap suatu bentuk penyalahgunaan kuasa dan tindakan
terdesak mendiamkan pengkritik.
Seiring
dengan kenyataan bersama itu juga memperlihatkan Tun Mahathir dan Ku Li
sudah duduk semeja dan seakan terus sehati sejiwa dalam fasa-fasa
berikutnya untuk melakukan tekanan bagi pengunduran Najib Razak sebagai
Perdana Menteri.
Apa
yang Pengarah Strategik BN itu perlu faham dan hadam betul-betul ialah
ketujuh-tujuh yang menentang Sosma itu kerana wujud unsur penyalahgunaan
kuasa dan undang-undang itu dilakukan semata-mata untuk mendiamkan
pengkritik Perdana Menteri.
Sosma
yang digubal untuk menangani ancaman keganasan dan terrorisme, secara
akal loginya tidak wajar dikenakan kepada seseorang yang hanya membuat
laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap 1MDB.
Membuat
laporan kepada pihak berkuasa, sama ada di dalam mahu pun di luar
negara, bukanlah suatu bentuk keganasan atau ancaman kepada keselamatan
negara kerana ia hanya merupakan satu tindakan mencari kebenaran
terhadap 1MDB yang mungkin turut melakukan kesalahan di negara-negara
terbabit.
Khairuddin
dan Mathias barangkali boleh dianggap bersubahat dengan pengganas dan
mengancam keselamatan negara jika mereka melaporkan mengenai 1MDB kepada
kumpulan pengganas yang tidak diiktiraf seperti IS atau mana-mana
kumpulan kiri dan haram di negara -negara Barat.
Ini mereka hanya membuat laporan kepada pihak polis di beberapa negara dan FBI saja, jadi apa masalahnya?
Kenapa kita rasa terancam bila laporan dibuat kepada pihak berkuasa keselamatan yang sah di luar negara?
Kalau
ada asas terhadap laporan itu, biarlah siasatan dijalankan? Kenapa
sudah rasa tergugat dengan sekadar laporan polis, sedangkan penyiasatan
mungkin dilakukan dan mungkin tidak?
Peranan
Muhyiddin selaku Ketua Whip semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri
hanyalah untuk memastikan undang-undang itu diluluskan yang ketika
digubal jelas tujuan dan matlamatnya, tetapi ia tidak bererti bersetuju
jika ia disalahgunakan.
Apa
yang berlaku, berdasarkan hujah-hujah dalam kenyataan bersama itu,
Sosma jelas telah disalahgunakan terhadap Khairuddin dan Mathias
berbanding dengan tujuan asal undang-undang itu diluluskan di Parlimen.
Mengecam
Sosma kerana percaya ia disalahgunakan, walaupun oleh orang yang pernah
berperanan penting meluluskannya adalah jauh lebih terpuji berbanding
mereka yang terus mempertahankan penahanan Khairuddin dan Mathias yang
ternampak seperti membenarkan Sosma sewenang-wenangnya diselewengkan.
Dalam
pada itu, baik ketika pentadbiran Tun Mahathir atau pemimpin sebelum
dan selepasnya di mana ISA masih berkuatkuasa, tidak pernah ada sesiapa
ditahan hanya semata-mata kerana membuat laporan polis mengenai sesebuah
anak syarikat milik kerajaan.
Dalam
semua penahanan yang dilakukan ketika itu, ia dilakukan dengan alasan
yang lebih besar dan ada ancamannya kepada keselamatan negara berbanding
individu kerdil yang hanya sekadar pergi ke balai polis seorang diri
membuat laporan dan minta dilakukan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan