Rabu, 7 Oktober 2015

Bentang teks TPP pada sidangan Parlimen

SINAR HARIAN


IDEAS


KUALA LUMPUR - Rundingan perjanjian Perkongsian‎ Trans-Pasifik (TPP) yang dimuktamadkan di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) semalam merupakan satu pencapaian bersejarah, menurut Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (Ideas).

Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan berkata, ini berdasarkan saiz ekonomi yang terlibat dan langkah-langkah perdagangan yang akan dilaksanakan di bawah perjanjian TPP.

"Saya berharap teks penuh disediakan untuk penelitian awam berikutan mereka kini perlu dilibatkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful turut menggesa kerajaan membentangkan teks perjanjian itu pada persidangan Parlimen akan datang supaya ahli-ahli Parlimen dapat membuat keputusan.

"Paling penting, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu memutuskan apa yang terbaik untuk negara dalam jangka masa panjang dan bukan apa yang popular dari segi politik untuk tempoh jangka pendek. Beliau kemudian perlu menerajui kempen untuk melaksanakan perkara yang betul," katanya.

Susulan perjanjian TPP dimuktamadkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan berkata kebimbangan Malaysia dalam rundingan itu dipertimbangkan oleh semua pihak dan penyertaan negara dalam TPP akan diputuskan secara kolektif.

Antara kebimbangan Malaysia ialah dalam bidang pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu-isu Bumiputera.

Sementara itu, penyedia logistik global dan penyokong utama perdagangan global berpangkalan di AS, United Parcel Service Inc (UPS), memuji langkah 12 negara yang merundingkan TPP berhubung kejayaan memuktamadkan perjanjian itu.

Presiden UPS Asia Pasifik, Nando Cesarone berkata, TPP penting kepada ekonomi AS, menyokong pertumbuhan global dan mewujudkan peluang pekerjaan.

"TPP menangani banyak kerumitan sekitar pemeriksaan rentas sempadan yang kita harap akan meningkatkan keyakinan dan membolehkan lebih banyak perniagaan kecil mengambil bahagian dalam perdagangan," katanya.

Pengarah Urusan UPS Malaysia, Lim Tze Hsien, berkata TPPA akan membantu Malaysia meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang utamanya seperti AS, Jepun dan Singapura, dan mendapat akses yang lebih baik ke pasaran di Mexico, Chile dan Peru.

"TPP akan meningkatkan eksport dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi dan produktiviti negara," katanya.

Negara-negara yang merundingkan TPP mewakili hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global dari Amerika ke Asia. - Bernama

Tiada ulasan: