KUALA TERENGGANU – Mujahidin Cyber Troopers, unit baharu di bawah Pemuda Pas akan bertindak melawan dan menangkis segala bentuk fitnah, tuduhan dan tohmahan yang cuba melemahkan parti itu khusus melalui serangan di alam maya.
Ketua Pemuda Pas Terengganu, Kamaruzaman Abdullah berkata, ia selari dengan penubuhan unit tersebut di peringkat Pusat dan pihaknya kini sedang menguatkan ‘pertahanan’ cybertroopers di semua lapan kawasan di negeri ini.
Menurutnya, pihak tersebut akan menumpukan tugas khusus itu bagi memastikan segala bentuk fitnah diperbetulkan bagi mengelak pemikiran sesetengah pihak diracuni atau dipengaruhi oleh perkara tidak benar.
“Setiap kawasan memang ada (cybertroopers) yang kita bayar elaun khusus untuk laksanakan tugas yang ini sahaja. Kita hendak suruh pemuda kita ‘back up’ apa-apa fitnah luar,” katanya.
Menurutnya, salah satu fitnah yang sedang rancak disebarkan ketika ini berupa tuduhan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba mewujudkan penyatuan antara Pas dan Umno.
Jelasnya, ia adalah fitnah yang sangat besar bertujuan memburukkan Abdul Hadi bagi menyisihkan Pas, serta melemahkan keyakinan ahli dan penyokong parti terhadap kepimpinan parti itu.
Beliau berkata, penyatuan antara Pas dan Umno tidak akan berlaku selagi Umno tidak mengubah dasar sedia ada yang bertentangan dengan prinsip Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan