Jumaat, 9 Oktober 2015

Bekas setpol Dr Mahathir cabar penahanan bawah Sosma



Peguam Matthias Chang yang pernah bertugas sebagai setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad akan mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.Peguam Matthias Chang yang pernah bertugas sebagai setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad akan mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Peguam Matthias Chang akan mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata peguamnya Haniff Khatri.

Haniff berkata, pihaknya akan membuat permohonan itu pada tarikh sama dengan cabaran yang akan difailkan anak guam Chang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang kini turut ditahan di bawah Sosma.
 
"Ya, kami sedang menyiapkan dokumen, kami akan siapkan afidavitnya esok dan fail di mahkamah seawal pagi Isnin depan apabila mahkamah dibuka.

"Dan kami akan cuba dapatkan ia disebut pada hari sama dengan permohonan Khairuddin tetapi kita tidak pasti tentangnya kerana ia bergantung pada budi bicara mahkamah," katanya kepada pemberita selepas bertemu Chang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini. 
 
Penahanan Chang yang pernah bertugas sebagai setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah Sosma bermula hari ini.

"Kami jumpa Matthias, seperti biasa beliau bersemangat dan bekerjasama dengan polis selama ini," kata Haniff.

Sementara itu berkaitan kes Khairuddin, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata mereka belum menerima sebarang balasan daripada peguam negara.

"Sehingga sekarang, kami belum terima sebarang afidavit atau balasan daripada peguam negara atau responden dalam kes Khairuddin," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Oktober depan bagi mendengar permohonan habeas corpus Khairuddin yang turut mencabar penahanannya di bawah Sosma.

Chang ditahan semalam sewaktu  melawat Khairuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Chang, ditahan di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang berkaitan sabotaj dan percubaan mensabotaj negara.

Turut hadir di Dang Wangi petang ini adalah Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru yang menegaskan pendirian Majlis Peguam yang mengutuk penahanan itu.

"Penahanan 28 hari adalah penahanan bagi tujuan siasatan dan apabila individu berkenaan bersedia bekerjasama, tiada keperluan untuk siasatan lagi. Dalam hal ini, ia bersifat menghukum," katanya.


Tiada ulasan: