Jumaat, 9 Oktober 2015

Ibu kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi Gua Musang, gembira dalam tangisan

Muhafandi Muhamad, Astro Awani
Ibu kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi Gua Musang, gembira dalam tangisan
Midah Angah langsung tidak menyangka mimpi yang dialaminya beberapa hari lalu kini menjadi kenyataan. - Astro AWANI
 
 
GUA MUSANG: Tiada apa yang mampu menggambarkan perasaan Midah Angah, ibu kepada salah seorang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Noreen Yacob yang ditemui selamat selepas 48 hari hilang.

Badannya lemah dan terkejut selepas melihat anaknya itu dibawa turun dari ambulans Jabatan Perkhidmatan Awam di Hospital Gua Musang petang tadi.

Dia langsung tidak menyangka mimpi yang dialaminya beberapa hari lalu kini menjadi kenyataan.

''Saya mimpi ada orang tua datang cakap, ini bukan anak awak, ini orang lain.

''Dia kata anak saya hidup dalam hutan dan ada buah (untuk makan) tetapi tinggi dan tidak boleh panjat (pokok),'' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, dia juga hairan bagaimana anaknya itu dapat bertahan cukup lama di dalam hutan walaupun tanpa makanan.

''Mungkin dia cuma makan tanah dan rumput,'' ujarnya.

Namun, keresahan Midah belum reda kerana dia masih mengharapkan seorang lagi anaknya Haikal, 8, dijumpai selamat.

Midah kehilangan suaminya lapan tahun lalu ketika dia mengandungkan anaknya Haikal.

noreen

BACA: Kronologi kes kehilangan misteri 7 pelajar Orang Asli dari Pos Tohoi, Gua Musang

Kehilangan tujuh murid SK Pos Tohoi dilaporkan berlaku pada 23 Ogos lalu.

Murid terbabit ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yacob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7.

Semalam dan kelmarin, pasukan mencari dan menyelamat menemui dua mayat dengan salah seorang daripadanya disahkan sebagai Sasa Sobrie berdasarkan pengecaman oleh ahli keluarga.
Sementara itu, hari ini, satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan bersama dua mangsa yang dijumpai selamat.

Ini menjadikan lima daripada tujuh mangsa dengan dua daripadanya terselamat, sudah ditemukan setakat ini.

Sementara itu, usaha mencari dua lagi murid yang hilang masih diteruskan oleh semua pihak yang terlibat.
 
 

Tiada ulasan: