Khamis, 8 Oktober 2015

10 soalan yang patut ditanya kepada Najib dalam mesyuarat kabinet

Najib-1mdb-parlimen-685x320-650x400

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini membawakan sepuluh persoalan mengenai isu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjelang mesyuarat kabinet hari ini.

Pertama, adakah kabinet akan meminta penjelasan sama ada Perdana Menteri itu sedang disiasat Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengikut Akta Inisiatif Menyelamatkan Aset Kleptocrat 2010?

Kedua, adakah kabinet akan bertanya mengapa Najib belum mengambil tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal (WSJ) berikutan laporan pada 2 Julai 2015 mengenai ‘derma’ RM2.6 bilion ke akaun peribadinya?

Ketiga, adakah kabinat akan bertanya mengapa Najib mengancam untuk menyaman bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik kerana memfitnah jika tidak menarik balik dakwaan dalam tujuh hari sedangkan cadangan menyaman WSJ tertunggak tiga bulan lamanya?

Keempat, adakah kabinet akan bertanya sama ada Najib akan mengambil tindakan undang-undang terhadap empat organisasi media antarabangsa berikutan hasil penerbitan mereka?

– Al Jazeera kerana menerbitkan segmen berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu.
– New York Times kerana menerbitkan pertuduhan rasuah dan pembersihan wang membabitkan Najib
– The Economist kerana mendedahkan masalah ketegangan kaum di Malaysia
– Channel News Asia kerana menerbitkan dokumentari yang memapar imej buruk Malaysia

Kelima, adakah kabinet akan meminta Najib berterus terang mengenai skandal RM50 bilion 1MDB dengan memberi jawapan kepada semua persoalan termasuk membentang kertas putih di Parlimen apabila ia bersidang semula pada 19 Oktober ini?

Keenam, adakah kabinet akan meminta memberi penjelasan mengapa Najib mengendos Himpunan Baju Merah yang bersifat provokatif perkauman hingga kepada konflik perkauman di negara ini?

Ketujuh, adakah kabinet akan bertanya sama ada Najib akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman keranan membuat kenyataan yang memecah belah perpaduan dan menghina orang Cina di Malaysia?

Kelapan, sama ada kabinet akan bertanya sama ada Najib membuat pendirian menjadikan Global Movement of Moderates menjadi polisi penting pentadbirannya tetapi mengapa pula tidak menunjukkan sikap kesederhanaan pada Himpunan Bersih 4, sebaliknya menyokong Himpunan Baju Merah yang membawa manifestasi ekstrem, tidak bertolenrasi dan penuh ketaksuban?

Kesembilan, sama ada kabinet bertanya Najib sebab sebenar pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dua bulan lalu dan sama ada akaun bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador ada kaitan dengan siasatan 1MDB?

Akhir sekali, adakah kabinet akan bertanya Najib perihal masalah jerebu termasuk kegagalan menaik taraf stesen Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menyamai keupayaan Singapura dan sama ada Kerajaan Malaysia akan membuat tuntutan kepada Indonesia bagi mengimbangi kerugian ekonomi akibat bencana itu?


Tiada ulasan: