Khamis, 8 Oktober 2015

Mufti Pahang disaran contohi Saidina Ali berdialog dengan ‘musuh Islam’

WAN_JI_WAN_HUSIN_030214_TMINAJJUA_03-650x400

Roketkini.com


KUALA LUMPUR- Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman perlu berdialog dengan pemimpin Melayu-Islam DAP dalam mencari penyelesaian isu khutbah politik, sesuai dengan usul fiqh dalam Islam sebelum memfatwa sesuatu hukum.

Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BiPPA) AMK Malaysia, Wan Ji Wan Hussin, berkata ketidaksediaan Dr Abdul Rahman berbuat demikian boleh memalukan umat Islam kerana melabel DAP dengan tuduhan berat.

“Sudah pasti, ia perlu diselesaikan dengan ilmiah dan berfakta. Wajib bagi mufti berdialog dan berhujah dengan DAP untuk memastikan sejauh mana kebenaran di sebalik dakwaan DAP sebagai ‘musuh Islam’,” katanya pada facebooknya hari ini.

Pada 2 Oktober lalu, Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Raja Puji mengajak Jabatan Mufti negeri itu mengadakan perbincangan secara berhemah bagi mengelakkan isu teks khutbah memfitnah parti itu, berlarutan hingga merugikan umat Islam.

Beliau bercadang membuat temu janji bagi mengurai kekusutan sekaligus mengelakkan ia berlarutan ke mahkamah tetapi Dr Abdul Rahman menolaknya dengan memberi bermacam-macam alasan.

Sebelum ini, teks khutbah sempena sambutan AidilAdha di Pahang berbaur politik dan berunsur fitnah apabila menuduh ‘DAP menentang Islam’ yang ketara mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam.

Wan Ji berkata, Dr Abdul Rahman perlu sedia mengambil sikap Saidina Ali menghantar wakil untuk berhujah dengan puak Khawarij yang mahu melakukan pemberontakan supaya merosakkan imej agama Islam.

“Jika Saidina Ali boleh berdialog dan menyampaikan hujah jitu dalam berhadapan dengan pemberontakan, sudah pasti tidak wajar pihak mufti tidak bersedia berhujah dan berdialog dengan DAP.

“Malah, tuduhan mereka DAP sebagai musuh Islam itu sendiri masih kabur,” katanya.

Berharap Dr Abdul Rahman bersikap profesional ketika berdepan isu perbezaan politik kepartian, Wan Ji berkata, kegagalan berdialog memberi implikasi buruk terhadap imej institusi mufti di mata rakyat terutama dalam kalangan bukan Islam.

“Mufti tidak perlu takut berhujah berkata tentang kebenaran. Jika tidak, sudah pasti kenyataan mufti selepas ini akan dianggap picisan oleh rakyat.

“Jauhkan pendekatan yang boleh melahirkan permusuhan antara rakyat. Kita berdoa agar budaya rahmat menjadi amalan dan sudah pasti, amalan permusuhan berasaskan kaum dan agama dapat dielak,” katanya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: