Ahad, 20 September 2015

Wartawan: Antara Kebebasan, Ancaman dan Cari Makan

A Kadir Jasin


DARIPADA nostalgia dan kenangan lama mengusik jiwa, kita terpaksa kembali ke alam nyata. Semalam sejarah dan kenangan. Hari ini hakikat dan kenyataan.
 
Terima kasih kepada pembahas yang mendoakan keselamatan saya. Mudah cakap, saya tidaklah berani sangat tetapi saya pun tidak terlalu penakut.

Saya diajar oleh Allahyarham ayah saya, berani atau takut harus berasas dan berpada. Kenali bahaya dan kurangkan ancamannya. Paling penting, kata ayah saya, hormati sesama manusia tetapi takut hanya kepada Allah.

Masa kanak-kanak saya takut hantu. Kita ditakut-takutkan dengan cerita hantu. Macam-macam hantu. Tetapi ketika belasan tahun saya hilang takut kepada hantu. Musim hujan, bila ikan naik dari sungai ke sawah untuk bertelur, hatta tengah malam pun saya keluar rumah untuk memeriksa bubu, tuar dan pelompat.

Saya tahu ancaman ada di mana-mana dan apa saja boleh berlaku, hatta yang tak masuk akal. Selama 46 tahun menjadi wartawan saya melaporkan dan membaca banyak kejadian aneh: manusia hilang tanpa kesan, tauke India dibunuh tetapi pembunuh tidak diketahui, wanita asing diledakkan dan macam-macam lagi. Yang terbaru  Timbalan Pendakwa Raya (DPP) (Anthony Kevin Morais) diculik di tengah-tengah kemewahan Bangsar dan mayat beliau ditemui di Subang Jaya.

Mayat Morais disumbat dalam tong minyak
Takut memang takut. Macam-macam boleh berlaku. Sekarang pembunuh upahan amatur ada di mana-mana. Orang yang biasa dengan masyarakat yang memelihara anjing tentu tahu anjing kadang-kadang menyerang tanpa diarah dan tanpa provokasi. Tuan tak suruh serang tapi anjing serang. Mungkin anjing rasa tuannya terancam atau anjing nak tunjuk baik kepada tuannya. Jaga-jaga, penyakit anjing gila kembali semula. Lagi satu bala.


Anjing liar bawa penyakit anjing gila


Negara kita makin bahaya. Tetapi kalau kerana negara kita bahaya, kita takut dan tidak buat apa-apa, keadaan akan jadi lebih bahaya. Akhirnya Malaysia hanya layak didiami samseng, penyangak dan pembesar yang diiringi pengawal bersenjata.

Apakah itu yang kita kehendaki? Apakah itu Tanah Melayu dan Malaysia yang para pejuang silam idamkan apabila mereka melaungkan merdeka, merdeka, merdeka pada 31 Ogos 1957?

Negara kita menjadi begitu tidak selamat sehingga ada pengarang media massa arus perdana yang dikhabarkan membawa senjata api.

Kalau pengarang media massa arus perdana mengakui tentang betapa bahayanya negara sehingga terpaksa membawa senjata api, apakah kita hendak mempertikaikannya?

Dulu Lain

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri antara 1981 hingga 2003, beliau bebas memandu sendiri untuk meninjau buruk baik negara dan menikmati kepuasan memandu.

Masa itu pun ada ancaman. Pada awal tahun 1980-an pasukan bersenjata komunis masih cergas dan kegiatan kongsi gelap meluas.

Tetapi kini, pada saat negara kita diuar-uarkan akan menjadi negara pendapatan tinggi menjelang tahun 2020, polis menasihati Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak jangan memandu sendiri atas alasan keselamatan. Hanya sekali beliau dibenarkan memandu sendiri ke Hotel Majestic.

Jadi jelaslah yang Malaysia makin tidak selamat atau Perdana Menteri kita sekarang menghadapi ancaman keselamatan yang tinggi sehingga menghadiri bahas umum "nothing2hide" pun ditegah polis.

Kebebasan

Terima kasih kepada anak buah dan rakan wartawan yang curi-curi berjumpa saya atau bertukar-tukar fikiran melalui SMS dan Whatsapp. Yang lebih berani seperti Ku Seman mengulas terus dalam blog ini.
Saya faham dilema mereka. Nasihat saya, kalau mereka makan gaji, mereka kenalah akur kepada majikan mereka. Alternatifnya mereka kenalah berhenti dan cari tempat yang secocok dengan pendirian mereka atau bekerja sendiri.

Sekarang bukan media arus perdana (MAP) saja dimiliki dan dikawal oleh kerajaan atau pihak-pihak prokerajaan malah banyak saluran media baru seperti portal berita dan blog turut dimiliki atau ditaja oleh kerajaan dan pihak-pihak prokerajaan.

Saya terpaksa bersetuju dengan mereka bahawa terlalu kerap MAP kena saman malu oleh pembangkang dan sering kalah dalam perbicaraan. Mereka hilang duit tetapi yang lebih teruk mereka hilang kewibawaan dan keyakinan khalayak. Duit itu lebih baik dibelanjakan untuk kebajikan kakitangan dan memperbaiki mutu pemberitaan daripada membayar saman malu.

Kesimpulannya, kejadian yang dulu dianggap luar biasa sekarang sudah tidak luar biasa lagi. Malah sudah jadi biasa. Wanita jelita dan DPP dibunuh sensasi. Pengarang media bawa senjata api. Hak menjawab dalam akhbar tidak lagi diamalkan. Manusia takut hingga cakap pun berbisik-bisik.


Pasca-skrip: Tahniah kepada (Datuk) Ahmad Rejal Arbee (gambar di atas) kerana dianugerahkan gelaran Tokoh Wartawan Negara (2014) dan kepada keluarga Allahyarham Zainon Ahmad atas anugerah Tokoh Wartawan Negara (posthumous) 10 September lalu.Wallahuaklam.


Tiada ulasan: