RAWANG: PKR tegas menolak cadangan DAP yang mahu menyisihkan PAS
daripada pakatan pembangkang baru yang dijangka dibentuk tidak lama
lagi.
Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, PKR tetap akan
berpegang dengan pendirian parti yang turut disuarakan oleh bekas Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Itu pandangan Lim Guan Eng, terpulang kepada DAP. Yang saya nyatakan
baru-baru ini bukan kenyataan dan pendirian saya tapi adalah pendirian
parti (PKR), ini bukan pendirian saya ataupun Datuk Seri Dr Wan Azizah
(Presiden).
"Kita telah bincang panjang, termasuk pandangan dan maklum balas yang
diterima Ketua Umum, (Datuk Seri) Anwar yang menyatakan PKR sentiasa
bersifat inklusif dan kita menerima mana-mana pihak yang terikat dengan
pendirian dan dasar-dasar untuk melakukan perubahan dan reformasi secara
total", katanya di dalam sidang media pelancaran Rumah Selangorku
Idaman PKNS di sini hari ini.
Azmin mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
semalam yang jelas menolak penglibatan PAS dalam pembentukan Pakatan
Rakyat 2.0.
Katanya gabungan pakatan pembangkang perlu bekerjasama sebagai sebuah
gabungan pembangkang yang meliputi kesemua parti, iaitu PKR, DAP dan
PAS.
Antara komponen pembangkang yang dijangka menyertai PR 2.0 adalah PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut beliau, apa juga keputusan akan dibincangkan secara terperinci dengan semua pimpinan parti.
Katanya, sebarang pandangan peribadi akan diterima namun ianya tidak akan menjadi keputusan akhir.
"Kita mesti ada perikemanusiaan untuk menerima pandangan-pandangan
daripada pelbagai pihak tapi dengan matlamat yang sama, itu pendirian
PKR dan kita boleh bincang dalam beberapa siri yang akan datang, bagi
melihat berdasarkan senario politik semasa, sudah tentu ada keperluan
untuk kita mengikat semua parti-parti politik ini dengan satu muafakat
dan maltlamat yg lebih jelas bagi menyelamatkan negara dan memulihkan
ekonomi hari ini," katanya.
Guan Eng dalam kenyataannya semalam menolak penglibatan PAS dalam PR
2.0 kelak, dan menganggap hubungan DAP dan PAS kini sudah tidak boleh
diselamatkan kerana parti Islam itu sudah mengisytiharkan DAP sebagai
musuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan