Khamis, 24 September 2015

PAS akan terus mendokong bai'ah, kata Nik Zawawi

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tidak ada keperluan untuk PAS menyemak semula penggunan bai'ah yang dipertikaikan oleh kalangan mereka yang melanggarnya dan sanggup menjadi "sampah masyarakat," kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh.
 
"Bai'ah adalah salah satu ajaran Islam. PAS akan meneruskan sistem bai'ah. Selagi PAS wujud dan perjuangan Islam yang dibawa PAS wujud, selama itu kita akan pertahankannya. 
 
"Setakat ini mereka yang patuh dengan bai'ah tetap akur. Yang langgar pula kita serahkan kepada Allah SWT. Di zaman sahabat pun ada orang langgar bai'ah namun tidak ada yang terselamat," tegasnya ketika diwawancara bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Bai'ah adalah perjanjian Islam di antara dua pihak untuk mengelak berlakunya penyelewengan khususnya salah guna kuasa. 
 
Perjanjian bai'ah dalam PAS umumnya memerlukan wakil rakyat di dalam parti untuk mengosongkan kerus jika lompat menyertai parti lain. 
 
Namun semua 13 Ahli Parlimen dan ADUN PAS yang menyertai Parti Amanah Negara dan PKR enggan berbuat demikian baru-baru ini, sekali gus memaksa PAS melabel mereka sebagai pengkhianat.  
 
PAS menggangap mereka sebagai mungkir janji bukan sahaja kepada parti tetapi juga  terhadap Allah SWT.
 
Nik Zawawi berkata, lambat-laun mereka yang melanggar baiah akan menerima natijahnya. 
 
"Laknat daripada Allah mungkin di dunia dan pastinya di akhirat. Terpulang kepada mereka yang melanggar bai'ah. Jika mereka sanggup buat dan kemudian mengkhianati Allah SWT, kita tidak boleh kata apa. 
 
"Akhirnya mereka akan menjadi sampah masyarakat dan tidak akan dihormati," tegasnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: