Selasa, 1 September 2015

PAS akan terus 'ikat' ahli dengan bai'ah, elak khianati parti - Nasrudin

 Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan terus 'mengikat' ahli parti yang dipilih menjadi ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalui bai'ah bagi memastikan ahlinya tidak mengkhianati perjuangan parti Islam itu selain memastikan kelangsungan parti tersebut.
 
"Ya (ikat calon), itu antara tujuan dan objektif kepada bai'ah itu adalah supaya calon-calon atau mereka yang menang nanti tidak melakukan perkara yang merugikan parti," kata Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan.
 
Jelas beliau, lafaz bai'ah atau ikrar taat setia perlu dikekalkan bagi memastikan ahlinya terus istiqamah dalam perjuangan.
 
"Ini adalah merupakan ikrar ataupun janji yang telah diamalkan sejak awal tahun 1980 dulu memang sudah ada bai'ah.
 
"Bai'ah itu dengan maksud sumpah setia supaya tidak berlaku pengkhianatan, penyelewengan dengan tujuan nak menunjukkan mahalnya harga sebuah perjuangan dan tingginya nilai amanah yang diberikan oleh rakyat kepada seorang pemimpin," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Nasrudin mengulas isu sumpah bai'ah berikutan beberapa wakil rakyat PAS yang bertanding dan menang pada pilihan raya lalu akan meninggalkan parti untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).
 
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata lafaz bai'ah telah lama diamalkan di Kelantan iaitu sejak 2004, terhadap mana-mana wakil rakyat negeri itu yang mahu meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.
 
Antara kandungan bai'ah tersebut termasuklah perlu melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.
 
Lafaz bai'ah telah lama diamalkan PAS terhadap mana-mana wakil rakyat negeri itu yang mahu meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.
 
Perlanggaran terhadap lafaz bai'ah perkara yang terkutuk dan tercela
 
Menurut Nasrudin lagi, mana-mana wakil rakyat PAS yang menyokong perjuangan parti lain atau menyertai parti lain telah melanggar sumpah bai'ah yang dilafazkan kerana kerusi yang dimenangi adalah berdasarkan tiket parti itu.
 
"Jadi tak boleh nak berikan amanah dan tangggunjawab itu hanya dengan sekeping kertas yang kita panggil sebagai watikah melainkan ia mestilah menunjukkan satu sumpah taat setianya.
 
"...dan saya percaya kalau kita lihat amalan biasa kakitangan kerajaan pun mereka akan mengisi apa yang disebut aku janji untuk tidak mengkhianti atau merosakkan reputasi sendiri sebagai kakitangan kerajaan," katanya.
 
Ini kerana katanya, semua wakil rakyat dan calon yang dipilih bertanding dalam pilihan raya sudah berikrar untuk setia dalam perjuangan dan tidak khianat kepada parti.
 
"Begitu juga dengan calon-calon dalam pilihan raya sebab ini amanah besar selain daripada pemimpin parti, dia juga adalah kepada rakyat yang memberikan amanah kepada mereka," katanya.
 
Justeru Ahli Parlimen Temerloh ini yakin isu sumpah bai'ah tidak akan menjadi polemik yang berpanjangan namun menegaskan pelanggaran terhadap perkara itu merupakan perkara yang terkutuk.
 
"Jadi oleh kerana itu saya yakin soal bai'ah tidak akan terus berbangkit dan kita akan terus kekalkan.
 
"Sebarang perlanggaran terhadap bai'ah itu sesuatu yang sangat terkutuk atau tercela sebab ia mengkhianti sebuah amanah yang besar," katanya.
 
 

Tiada ulasan: