Setiap negara mempunyai sistem pemerintahan termasuk sistem memilih dan mengganti pimpinan negara mereka. Bagi sebuah negara yang mengambil demokrasi mereka mengamalkan demokrasi yang berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain walaupun asas demokrasi itu terbitnya dari sistem Westminster Abbey. Demokrasi itu adalah sebuah kerajaan pilihan rakyat, diperintah oleh rakyat untuk rakyat. Begitulah definisinya lebih kurang. Dalam sebuah demokrasi tulin seorang yang memimpin yang telah dapat mandat untuk memimpin selalunya akan membawa dan menerima semangat demokrasi itu sendiri.
Di Malaysia kita menggunakan demokrasi hanya untuk memilih tapi tidak
menerima semangatnya sekali. Pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya
akan mengambil jalan populis dan populariti itulah yang membuatkan
pemilih memilih seorang itu untuk menjadi pemimpin utama negara.
Selalunya seorang yang memilih jalan populis itu tidak kekal lama.
Apabila graf popularitinya menurun pemimpin itu akan melihat kebelakang
samada dia masih patut meninggalkan jawatannya atau memilih untuk terus
menduduki kedudukan yang beliau pegang itu. Di sinilah letaknya ujian
seseorang pemimpin itu samada menerima semangat demokrasi apabila sampai
di saat itu. Jika pemimpin itu menerima semangat demokrasi itu dengan
jujur selalunya pemimpin itu akan mencari jalan keluar dan membiarkan
partinya memilih pemimpin yang lain atau melalui pilihanraya awal dari
waktu sepatutnya.
Pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang tulen dan keberadaan beliau
diatas sebelumnya itu adalah untuk menabur bakti kepada negara dan
rakyat yang telah memilih beliau dahulu. Beliau tidak akan kekal
berkuasa kerana kehadirannya dalam jangka yang lebih lama akan
menjejaskan parti dan kerajaan pimpinannya.
Di negara kita pernah kita melihat contoh yang terbaik yang ditunjukkan
oleh Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga negara kita. Kita tidak
mempunyai apa-apa kemusykilan terhadap Hussein Onn jika dikaji dari
semangat mahu membina dan menjaga negara dengan baik mengikut susurgalur
demokrasi yang benar. Apabila beliau ditentang oleh Sulaiman Palestin
sebagai Presiden UMNO pada tahun 1978 dahulu beliau tahu sudah ada
unsur-unsur yang boleh menjatuhkan sokongan rakyat terhadap beliau
walaupun gulungan itu hanya segelintir jumlahnya.
Sulaiman hanya mendapat 250 undi sedangkan selainnya dari seramai 1300
orang perwakilan UMNO itu menyokong beliau. Beliau boleh berbangga
dengan kemenangan besar beliau, tetapi beliau memahami isu-isu seperti
isu Dato Harun Idris dan sebagainya ini akan menyebabkan beliau tidak
mendapat sokongan bulat dari partinya. Di sinilah Hussein Onn lulus
ujian sebagai seorang pemimpin yang menghormati semangat kepada
demokrasi itu dan beliau terus mengumumkan yang beliau tidak akan
mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti dalam perhimpunan
agung pada tahun 1981 dahulu.
Hussein tidak ada apa-apa untuk beliau pertahankan. Beliau menggalas
tugas hanya untuk menyempurnakan misi menjaga negara dengan baik, Beliau
tidak ada apa-apa kepentingan peribadi untuk dipertahankan. Beliau
tidak mempunyai gagasan perniagaan yang memerlukan jawatan Perdana
Menteri itu. Beliau tidak mempunyai kesalahan criminal dan moral untuk
dilindungi masa persaraan beliau dan beliau boleh hidup dengan tenang
semasa persaraannya.
Beliau tidak perlu mengupah penulis-penulis upahan untuk menulis tentang
kebaikan beliau kerana beliau adalah pemimpin yang mempunyai jiwa besar
dan tidak perlu mempertahankan beliau melalui akhbar-akhbar dan
menguasai 'editorial' akhbar-akhbar perdana dengan begitu ketat seperti
yang berlaku sekarang.
Begitu juga bagi negara-negara maju. Oleh kerana masing-masing pemimpin
tidak mempunyai 'kerak' dan rekod jenayah dan kepentingan kewangan
mereka tidak perlu membuat ucapan bergegar-gegar seperti 'at all costs I
shall remain to be the PM of this country' dan sebagainya.
Sesungguhnya pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang berjiwa besar dan
tidak seperti ramai pemimpin selepas beliau mempunyai jiwa fakir yang
memerlukan jawatan mereka dipertahankan 'at all costs' sehinggakan UMNO
dan rakyat berbilang kaum menjadi berpecah belah. Kepimpinan Melayu
sudah mula tidak dihormati oleh bangsa-bangsa lain kerana pemimpin
Melayu gagal untuk menjadi pemimpin untuk semua kaum.
Apabila Melayu berpecah seluruh negara akan pecah. Melayu telah
diletakkan dalam perlembagaan sebagai kaum yang diberikan keutamaan
disamping mempastikan kaum-kaum lain dipertahankan dan dilindungi. Maka
adalah sangat penting bagi Melayu itu mempunyai ciri kepimpinan yang
'magnanimous' bagi menjaga kepentingan semua kaum secara 'equitable' dan
bersikap adil terhadap semua kaum yang mendiami negara
Jika Melayu lupa yang negara ini telah dibina diatas usaha dan kerjasama
rapat di antara semua kaum adalah tidak adil bagi kaum Melayu hanya
memikirkan untuk bangsanya sendiri.
Najib dan rakan-rakan wajar berundur. Jangan kerana mabuk dengan kuasa
dan wang ringgit yang bertimbun beliau mengorbankan negara dan kehidupan
rakyat yang sangat dahagakan ketenangan. Terimalah semangat demokrasi
itu dengan jujur. Ikut contoh Hussein Onn, pemimpin yang telah
menunjukkan sikap kebertanggungjawaban yang unggul terhadap negara
Malaysia yang beliau pimpin suatu ketika dahulu.
Jangan ikut contoh Iddi Amin dari Uganda atau Robert Mugabe dari
Zimbabwe itu sebagai contoh. Ikutlah contoh-contoh yang baik. Najib
wajar berpijak pada bumi yang nyata. Carilah ketenangan dalam persaraan.
Akui kesalahan dan kesilapan dan serahkan negara ini kepada rakyat
untuk menentukan masa depan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan