Oleh Alyaa Alhadjri
Ada pepatah Melayu berbunyi, “Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang.” Dan mutakhir ini memang banyak khabar angin seputar mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 9 September ini.
Mesyuarat
itu dijangka panas, memandangkan ia kali pertama ahlinya bermesyuarat
selepas Perdana Menteri Najib Razak memecat timbalan presiden Umno
Muhyiddin Yassin dan naib presiden Shafie Apdal daripada Kabinet.
Bagi
Najib, mesyuarat ini boleh menjadi peluang untuk menghentikan
penentangan dalaman berikutan seruan agar beliau berundur ekoran
skandal “derma” RM2.6 bilion yang berkaitan dengan salah laku dalam
1MDB.
Pada 3 September lalu, pesanan
WhatsApp yang mendakwa Muhyiddin, Shafie dan lima lagi pemimpin Umno
akan dipecar ketika mesyuarat itu mula tersebar.
Lima
pemimpin itu adalah Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, MP Kulim
Aziz Sheikh Fadzir, bekas Menteri Besar Terengganu Ahmad Said, MP
Sepanggar Jumat Idris dan Adun Sungai Rapat Hamidah Osman.
Beberapa
bulan ini, mereka secara terbuka mengkritik usaha Najib untuk
“menutup” skandal yang telah menyebabkan beliau dikecam di peringkat
antarabangsa.
Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein menafikan dakwaan tersebut dan berkata lebih banyak isu penting yang perlu dibincangkan.
“Mesyuarat
majlis tertinggi adalah acara tertutup dan perkara yang dibawa dalam
mesyuarat tidak patut dibincangkan di forum terbuka,” kata naib
presiden Umno itu seperti dipetik akhbar The Star.
Namun
begitu, ahli jawatankuasa disiplin Umno Megat Najmuddin Megat Khas
ketika dihubungi berkata, majlis tertinggi mempunyai kuasa untuk
memecat mana-mana ahli atas dakwaan kesalahan mengikut perlembagaannya.
“Majlis tertinggi ada prerogatif untuk menentukan apa-apa tindakan terhadap ahlinya.
“Kuasa
kami (jawatankuasa disiplin) adalah untuk menasihati majis tertinggi,
dan mereka juga boleh memilih untuk memintas kami dalam memutuskan
apa-apa tindakan,” katanya kepada Semut Harian.
Timbalan
Pengerusi Tetap Umno Mohamad Aziz pula berkata, perlembagaan parti
memberikan kuasa membuat keputusan tertinggi kepada perwakilan dalam
mesyuarat agung tahunan.
Dengan tiadanya perhimpunan, kuasa diberikan kepada ahli majlis tertinggi.
Mohamad Aziz berkata, apa-apa langkah oleh majlis tertinggi untuk memecat ahli akan diputuskan melalui proses undian.
“Benar mereka boleh mengundi untuk memecat ahli. Tetapi mengapa perlu buat demikian?
“Khabar
angin ini tidak seharusnya berlaku. Saya bimbang ia akan lemahkan
Umno. Kekuatan kita bergantung kepada perpaduan kita (ahli),” katanya
yang juga speaker DUN Johor dan sudah menjadi ahli Umno selama 55
tahun.
“Apabila mereka yang di atas (pemimpin Umno) berpecah, tahulah apa yang akan berlaku di akar umbi,” katanya lagi.
Di
kalangan ahli majlis tertinggi, Mohamad adalah antara yang paling awal
mempertahankan Muhyiddin daripada apa-apa kemungkinan tindakan parti
ke atasnya.
Kini pastinya saat-saat
sukar buat Najib dan Umno, namun seperti yang dinyatakan wartawan
veteran A Kadir Jasin, “biarkan (khabar) angin itu berlalu sepoi-sepoi
bahasa. Kita nikmati kedinginan atau kehangatannya.”
Dari jauh, khabar angin ini mungkin seperti hanya bertiup lembut.
Namun
jika Najib selaku nakhoda Umno gagal membaca arah pergerakan angin
itu, jelas kapalnya pasti akan dilambung ombak dan karam akhirnya.
Maka
bergantung kepada anak kapal untuk menentukan sama ada mereka mahu
karam bersama nakhoda, atau bersama-sama memulakan pemberontakan,
sementara masa masih ada.
Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di alyaa@hckmedia.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan