shahbudindotcom
Himpunan aman rakyat bersatu atau baju merah pada 16 September ini
sudah pun mendapat kelulusan daripada pihak polis berikutan Persatuan
Silat Kebangsaan atau Pesaka telah diberi kebenaran oleh DBKL untuk
menggunakan Padang Merbok bagi tujuan tersebut.
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan demontrasi tetapi perhimpunan 16 September ini tetap akan dibenarkan kerana sudah memenuhi kriteria di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Beliau
juga memberi jaminan akan mengerahkan anggota polis yang secukupnya
untuk mengawal bagi memastikan keselamatan semua orang yang menghadiri
perhimpunan itu.
Bagaimanapun
kelulusan ini difahamkan tidak termasuk perarakan berbaju merah yang
dikendalikan oleh Gabungan NGO-NGO Melayu yang bermula di beberapa
tempat di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Petaling sebelum turut berkumpul di Padang Merbok sebagai destinasi akhirnya.
Perarakan
baju merah ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak, termasuk semua
parti komponen BN kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan huru-hara dan
menjadikan hubungan kaum yang tidak selesa dalam negara.
Di
Kota Bharu, Kelantan semalam telah berlaku provokasi menjelang himpunan
baju merah di mana patung Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dibakar di
dalam satu majlis yang dihadiri oleh Fatmi Che Salleh, Ketua UMNO
bahagian tersebut yang juga bekas Setiausaha Politik Najib.
Dalam
masa yang sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor
turut mengajak seluruh rakyat menghadiri perhimpunan pada 16 September ini bagi menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan para pemimpinnya.
Ini kerana, katanya, perhimpunan itu ialah sebagai satu cara untuk rakyat meluahkan rasa cinta dan sayang kepada negara.
Namun
demikian, beliau yang lebih dikenali dengan Ku Nan menyatakan tidak
dapat menghadiri perhimpunan itu kerana bertembung dengan acara lain
yang sudah diatur lebih awal.
Najib Razak dikhabarkan turut tidak menghadirinya kerana sudah berlepas untuk satu program di London pada tarikh 16 September itu dan kemudian terus ke New York untuk menghadiri Persidangan PBB.
Timbalan
Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO dan
kerajaan juga masih belum kedengaran janji mereka untuk menghadiri
perhimpunan itu yang tujuan besarnya ialah untuk menyatakan sokongan
kepada Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya.
Habis, siapa pemimpin UMNO dan kerajaan yang hadir nanti? Adakah Zahid? Hishammuddin? Khairy Jamaluddin? Yang lain-lain?
Pemimpin yang sudah terbuang, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal, adakah teringin untuk datang sama?
Berapa ramai menteri yang akan menunjukkan muka agaknya?
Apakah hanya yang menyokong saja perlu hadir sedangkan pihak yang disokong langsung tidak perlu memunculkan diri mereka?
Kenapa sehingga ini tiada kerahan kepada pemimpin untuk menghadirinya?
Berapa ramai Ketua UMNO bahagian yang sanggup datang daripada 191 jumlah semuanya di seluruh negara?
Apakah
hanya peserta daripada golongan marhaen dan gurkha saja yang dikerah
hadir sambil menelan asap jerebu, manakala semua pemimpin tertinggi UMNO
dan kerajaan hanya berehat dan bersantai di acara lain dalam dewan
tertutup dan berhawa dingin?
Atau
sebenarnya ramai pemimpin UMNO yang takut menghadiri perhimpunan baju
merah ini kerana bimbang akan dihukum oleh pengundi bukan Melayu dalam
pilihanraya umum nanti?
Tidak
seperti Bersih 4 di mana pemimpin utama semua partinya menghadirkan
diri, mungkinkah dalam perhimpunan baju merah ini, hanya penyokong saja
yang bersungguh hati?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan