shahbudindotcom
Tidak
cukup dengan perhimpunan berunsur perkauman yang digerakkannya bersama
Pesaka pada 16 September lalu, Jamal Mohd Yunus yang mendakwa dirinya
mewakili Gabungan NGO-NGO Melayu dilaporkan mahu mengadakan demonstrasi
di Jalan Petaling pula pada Sabtu ini.
Daripada
matlamat awal mengadakan demonstrasi itu untuk menuntut kouta tapak
perniagaan untuk orang-orang Melayu di Jalan Petaling, tujuan demo itu
kini bertambah cabangnya kepada dakwaan mengenai kebanjiran warga asing
dan penjualan barang-barang tiruan di kawasan tersebut.
Ini
menunjukkan Jamal seperti sedang mengumpulkan banyak sebab untuk
mengadakan perhimpunan itu dan seterusnya memancing kehadiran lebih
ramai peserta.
Selain
itu, sepertimana laporan banyak media atas talian, Jamal turut
mengancam pihak berkuasa agar menyelesaikan segera isu-isu yang
dibangkitkannya berkaitan Jalan Petaling yang memang dikenali sebagai
kawasan perniagaan orang Cina jika tidak mahu perhimpunan dan
kemungkinan "suatu rusuhan" akan berlaku.
"Kalau
pihak berkuasa tak ambil tindakan, saya yakin 99 peratus akan ada
perhimpunan dan mungkin berlaku rusuhan di sana," Jamal dilaporkan
memberi ancaman.
Walaupun
pihak polis melalui Timbalan Ketua Polisnya, Noor Rashid Ibrahim telah
memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap Jamal berikutan
ancamannya itu, adalah disarankan agar pihak polis tidak
berlengah-lengah lagi daripada menahan dan menyiasatnya.
Tindakan
beliau sudah jelas bukan saja mengeruhkan lagi hubungan kaum di negara
ini dan mungkin menyebabkan ketegangan yang lebih berlarutan dalam
negara, bahkan jelas memalukan orang-orang Melayu sendiri.
Ini
kerana, kalau pun pun orang-orang Melayu mahu turut sama menjalankan
perniagaan di Jalan Petaling, ianya tidak harus dilakukan melalui
rusuhan atau suatu bentuk kekerasan.
Kita
bukan lagi hidup di zaman batu di mana kita boleh menggunakan kekerasan
jika inginkan sesuatu kawasan itu. Perniagaan harus dijalankan dengan
usaha gigih dan persaingan, tetapi tidak dengan merampas hak milik orang
lain.
Oleh itu, tangkaplah segera Jamal yang rasis dan menyusahkan ini!!
Lagi pula, pihak yang mengeluarkan lesen untuk menjalankan perniagaan di Jalan Petaling ialah DBKL di mana Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuannya adalah berbangsa Melayu.
Buatlah
perhimpunan aman secara besar-besaran di depan pejabat Datuk Bandar
atau Menteri Wilayah Persekutuan dan mintalah diperuntukan kouta
tertentu untuk orang-orang Melayu berniaga di sana.
Berkenaan
kebanjiran warga asing, Jamal sepatutnya mengadakan perhimpunan di
depan Kementerian Dalam Negeri untuk membantah kelulusan dan
mempersoalkan mengapa tiada tindakan tegas diambil untuk mencegah
kebanjiran pendatang tanpa izin di Jalan Petaling itu.
Oleh
kerana Menteri Dalam Negeri adalah juga Timbalan Perdana Menteri,
selain di depan Kementerian Dalam Negeri, perhimpunan secara
besar-besaran itu turut boleh diadakan di depan Bangunan Perdana Putra
di mana Ahmad Zahid Hamidi selalu berada atau di kediaman rasminya di
Sri Satria.
Begitu
juga mengenai banyaknya barang-barang tiruan yang dijual di Jalan
Petaling, pihak yang lebih patut dipersalahkan ialah Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bukannya para
peniaga terbabit.
Peniaga
bebas menjual kerana pihak berkuasa tidak bertindak dan seolah-olah
membiarkan saja penjualan barang-barang tiruan itu berleluasa.
Kenapa
pihak berkuasa tidak bertindak? Apa guna kuasa yang diberi jika tidak
boleh berbuat apa-apa? Bukankah segala akta dan undang-undang sudah
tersedia?
Atas
semua itu, yang paling afdal diambil tindakan terlebih dahulu ialah
tangkap dan siasat Jamal dengan seberapa segera kerana sasarannya
berkenaan perhimpunan itu adalah salah sama-sekali, selain sikap
perkaumannya yang terlalu jumud.
Jika
beliau ingin juga berhimpun atau berdemo, pihak berkuasa sepatutnya
minta Jamal melakukannya di depan pejabat Timbalan Perdana Menteri,
Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan serta tidak lupa di Bangunan DBKL.
Di situlah punca segala-galanya apa yang berlaku di Jalan Petaling.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan