Oleh Robin Stanley Augustin
Dengan perhimpunan baju merah pada 16 September yang semakin hampir, “kemasyhuran 15 minit” presiden Gabungan NGO-NGO Melayu Jamal Md Yunos nampaknya semakin padam.
Beliau
sememangnya sudah tidak popular di kalangan pelbagai segmen
masyarakat ekoran publisti murahan dan kenyataan bersifat perkauman
yang dibuatnya berhubung perhimpunan Bersih 4. Namun, kenyataan
terbaru ketua bahagian Umno yang sebelum ini tidak dikenali ini pasti
akan mencetuskan kemarahan lebih ramai orang.
Laman Malay Mail Online melaporkan yang beliau mencabar Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai perhimpunan itu jika bekas perdana menteri itu merasakan dirinya “cukup Melayu”.
Katanya,
Mahathir amat dialu-alukan untuk menyertai perhimpunan pada Hari
Malaysia itu, apatah lagi beliau sebelum ini telah turun ke perhimpunan
Bersih 4.
“Kalau Tun M cukup Melayu,
beliau amat dialu-alukan untuk datang,” katanya kepada wartawan di
Balai Polis Dang Wangi baru-baru ini.
“Asalkan
beliau tidak membuat desakan agar Perdana Menteri Najib Razak
meletakkan jawatan. Beliau tiada kelayakan untuk membuat desakan itu.”
Hanya rakyat dan ahli Umno yang boleh meminta Najib letak jawatan, tetapi kita semua berdiri di belakangnya.”
Mahathir
sebelum ini menyifatkan perhimpunan 16 September oleh Pesaka itu tidak
perlu dilakukan dengann memberikan contoh ketegangan di Bangkok,
Thailand yang disebabkan protes dua pihak yang bertentangan.
Jamal
sememangnya pak lawak. Adakah menyertai perhimpunan yang bernada
perkauman akan membuktikan seseorang itu cukup Melayu? Logik apa yang
beliau pakai?
Tindakan menyertai perhimpunan itu hanya membuktikan yang seseorang itu bersifat perkauman.
Pemimpin-pemimpin
Melayu seperti para pengasas negara ini tidak perlu bertindak
sedemikian rupa bagi membuktikan kemelayuan mereka.
Mereka
membuktikan komitmen dan dedikasi terhadap orang Melayu dan rakyat
Malaysia dengan mengangkat kedudukan rakyat dan memastikan wang rakyat
digunakan untuk membina sekolah, universiti dan pelbagai infrastruktur
lain.
Adakah Jamal tidak sedar betapa bodohnya kenyataannya itu?
Sama
ada anda suka atau benci, setuju atau tidak dengan cara Mahathir
mentadbir Malaysia, sumbangannya terhadap orang Melayu, rakyat Malaysia
dan negara ini selama 22 tahun menjadi perdana menteri dan presiden
Umno tidak dapat disangkal lagi.
Tiada
apa lagi yang perlu dibuktikannya. Siapa Jamal untuk berkata
sedemikian? Dan apa pula sumbangan Jamal sendiri terhadap orang Melayu?
Ketika
Mahathir mula memperjuangkan orang Melayu, beliau barangkali masih
lagi kanak-kanak, kalaupun beliau sudah lahir pada waktu itu.
Lagi
pula, bagaimana Jamal boleh berkata yang Mahathir tidak layak untuk
mendesak Najib meletakkan jawatan, dan tiada gunanya Mahahir berbuat
demikian memandangkan rakyat dan ahli Umno di belakang Najib?
Pertama,
semua warganegara berhak meminta Najib atau mana-mana pemimpin untuk
berundur jika mereka sudah hilang kepercayaan kepadanya.
Mahathir juga seorang ahli Umno dan warga Malaysia.
Memang,
Najib dan mana-mana pemimpin boleh sahaja untuk mengabaikan desakan
itu, tetapi kita tetap mempunyai hak untuk menyuarakan rasa tidak puas
hati kita kepadanya.
Jamal hanya menipu diri sendiri jika beliau merasakan semua rakyat dan ahli Umno di belakang Najib.
Adakah
beliau sudah lupa tentang ratusan ribu yang turun ke perhimpunan
Bersih 4, dan sejumlah ahli Umno sendiri yang telah mendesak Najib agar
berundur?
Maka tindakan Mahathir menyuarakan rasa tidak puas hatinya bukanlah sesuatu yang tidak berguna.
Yang tidak berguna adalah menyertai perhimpunan baju merah pada 16 september ini.
- See more at: http://bm.theantdaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan