THE MALAYSIAN INSIDER
Ringgit yang ditutup lebih rendah minggu
ini, dijangka diniagakan di antara 3.51 dan 3.59 berbanding dolar AS
minggu depan, kata peniaga.
Harga minyak mentah serta prestasi dolar AS dan langkah mengejutkan
oleh Switzerland untuk menghapuskan had ke atas franc terus memberi
tekanan ke atas mata wang tempatan.
Ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun setengah pada
Selasa berikutan kejatuhan berterusan harga minyak mentah.
Bagaimanapun ringgit meningkat sedikit pada Jumaat selepas pembetulan pasaran.
Seorang peniaga berkata, ketidaktentuan mengenai arah pasaran meletakkan pelabur dalam keadaan berhati-hati.
"Bagaimanapun saya tidak menjangka ringgit akan melepasi paras 3.6 minggu depan," katanya.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri
Khan Adam Khan berkata, mata wang tempatan itu meneruskan trend menurun
sebagai tindak balas kepada situasi luaran, termasuk kekukuhan dolar AS
dan kelemahan komoditi, bukannya disebabkan kemerosotan asas Malaysia.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit meningkat kepada 3.5580/5610
berbanding dolar AS 3.5610/5640 Jumaat lepas dan diniagakan
bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding yen kepada 3.0522/9561 daripada 2.9819/9857 dan
turun berbanding dolar Singapura kepada 2.6867/6898 daripada 2.6596/6623
sebelum ini.
Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.1319/2361
daripada 4.2038/2084 tetapi susut berbanding pound Britain kepada
5.4096/3156 daripada 5.3825/3881 minggu lepas. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan