Sabtu, 17 Januari 2015

Sirul ditawar tiket untuk ke tali gantung

MALAYSIAKINI


 


Koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati kerana atas kesalahan membunuh penterjemah Mongolia Altantuya Shaariibuu ditawarkan tiket percuma untuk pulang ke tanah air bagi menghadapi hukuman.

Tawaran itu dibuat pengerusi NGO pemantau jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Peguam Sirul sebelum ini mendakwa anak guamnya itu tidak dapat pulang ke tanah air bagi menghadapi perbicaraan baru-baru ini kerana kesempitan wang.

"Saya secara peribadi ingin menawarkan beliau tiket percuma untuk pulang ke Malaysia dari Australia.

"Jika alasan yang disebut peguamnya betul dan beliau tiada niat untuk lari daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan, maka beliau akan menerima tawaran ini dan kembali ke tanah air untuk menghadapi hukuman," kata Sanjeevan dalam kenyataan.

Menurut Sanjeevan, alasan kesempitan wang untuk kembali ke tanah air bagi menghadapi pendengaran di Mahkamah Persekutuan itu "tidak dapat diterima sama sekali".

Sanjeevan turut melahirkan rasa kesal yang teramat sangat kerana Sirul dibenarkan bebas daripada ikat jamin sewaktu rayuan masih dibuat ke atas pembebasannya.

Menurutnya, pergerakan Sirul sepatutnya dipantau secara rapi selepas dibebaskan dengan ikat jamin.

"Bagaimanakah seorang suspek pembunuhan dalam kes berprofil tinggi boleh meninggalkan negara tanpa dikesan?

"Ini perlu disiasat dan kita perlu malu dengan ketidakcekapan pihak berkuasa kita," katanya.

Selasa lalu Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes pembunuhan paling kontroversi di negara ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membebaskan mereka dari tuduhan menyebabkan kematian Altantuya.

Altantuya berkhidmat sebagai penterjemah dalam pembelian kapal selam Scorpene sewaktu Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri pertahanan.

Kerajaan kini dilaporkan sedang mencari ikhtiar untuk mengekstradisi Sirul pulang ke Malaysia untuk digantung.

Tiada ulasan: