Selasa, 20 Januari 2015

PKR saran PM jual jet demi berjimat

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli berkata, langkah penjimatan yang diumumkan kerajaan tidak menangani isu pokok untuk menghadapi kemerosotan pendapatan negara ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Rafizi antara lainnya membangkitkan mengenai pengumuman Najib mengenai penangguhan Program Latihan Khidmat Negara tahun ini bagi menjimatkan RM400 juta.

"Memotong RM400 juta adalah terlalu kecil untuk dilihat kesan.

"RM400 juta itu cuma (harga) dua biji jet sahaja. Baik dia jual dua biji jet itu untuk jimat RM400 juta," kata Rafizi dalam satu sidang media hari ini.

Mengulas langkah penjimatan kerajaan yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak pagi tadi, Rafizi berkata beliau kecewa kerana ia tidak melibatkan penjimatan di pihak PM.

Sepatutnya, Najib turut memotong perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri yang diperuntukkan sejumlah RM19 bilion dalam Bajet 2015.

"Ia amat mengecewakan kerana tidak ada langsung disebut tentang belanjawan Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Pada masa sama, langkah itu juganya tidak mengambil kira masalah utama nilai matawang ringgit yang semakin menjunam.

"Dengan nilai ringgit semakin menjunam, inflasi yang kita alami kini adalah inflasi yang diimport.

"Jawapan beliau (Najib) tidak mencerminkan kesegeraan untuk menangani masalah ringgit yang semakin menjunam," katanya.

Tiada ulasan: