Selasa, 20 Januari 2015

'Kenapa kambing hitamkan pegawai k'jaan?'

MALAYSIAKINI



 


Penjelasan kerajaan berhubung kaedah baru pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing atas talian, bagi mengelakkan orang tengah dan ekoran kesesakan di kaunter, mengundang kecaman Pemuda PKR.

Ketua penerangannya Lee Chean Chung (bawah) berkata tuduhan “liar” dan “tidak bertanggungjawab” itu menjejaskan imej kementerian dan negara.

“Ia seolah-olah memberikan gambaran bahawa semua kakitangan kementerian tersebut terjebak dalam budaya rasuah,” katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Lee, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu juga mencabar Junaidi mengemukakan bukti berkaitan dan bukan menjadikan pegawai kerajaan dan orang tengah sebagai kambing hitam.

Junaidi semalam dilaporkan berkata, Pembaharuan PLKS secara atas talian mulai minggu lepas bertujuan menangani peranan orang tengah yang mengenakan caj berlebihan hingga mencecah RM2,000 setiap permit.

Bernama melaporkannya sebagai berkata, selepas kementerian membuat kajian terhadap pelaksanaan sistem itu, maklum balas diterima memuaskan, termasuk untuk mengelakkan kesesakan di kaunter.

Dalam kenyataannya hari ini, Lee menganggap kenyataan Junaidi itu sebagai pengakuan terhadap gejala rasuah yang wujud dalam kementerian beliau.

Malah, katanya, sistem sebelum ini memang mengakibatkan kesesakan di kaunter dan menyebabkan orang ramai menunggu lama.

“Persoalannya, mengapakah tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh beliau serta menteri (dalam negeri) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri selama ini?” soalnya.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) sebelum ini sudah menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap langkah terbaharu itu.

Tiada ulasan: