MALAYSIAKINI
Kewujudkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan
memaksa PAS untuk memutuskan sama ada parti Islam itu mahu kekal atau
meninggalkan Pakatan Rakyat, kata presiden NGO itu Datuk Phahrolrazi
Zawawi.
Phahrolrazi berkata PAS perlu memutuskan perkara itu segera dan tidak
boleh kekal “tidak bergerak” kerana pilihan raya umum ke-14 (PRU)
semakin menghampiri.
Bekas exco kerajaan Kedah itu berkata, muktamar pemilihan PAS akan
berlangsung pada Jun ini dan tumpuan tentunya sama ada perwakilan akan
memutuskan berkaitan kedudukan parti itu dalam Pakatan.
Perkara
itu juga, katanya, antara sebab kenapa PAS kelihatan berhati-hati
terhadap anggota PasMa, kerana NGO itu “teguh” berdiri di belakang
Pakatan.
Ditanya sama ada PAS rasa terancam dengan kehadiran PasMa, Phahrolrazi membalas:
“Ia hanya nampak begitu di peringkat jawatankuasa pusat, bukan di peringkat negeri”.
Katanya, PasMa bergerak dengan baik di peringkat negeri dan telah membentuk sekretariat di banyak negeri.
“Malah penyokong kami di luar negara, seperti mahasiswa di United
Kingdom, bertanya sama ada PasMa akan ditubuhkan di tempat mereka,”
katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Alor Setar semalam.
“Kami kuasa ketiga, jika ada keperluan untuk kami sokong Pakatan Rakyat semasa pilihan raya, kami akan lakukannya.
"Jika ada yang kurang, kami akan melengkapkannya,” tegasnya.
Landasan salur kritikan
PasMa ditubuhkan pada 10 Ogos tahun lalu di tengah-tengah krisis menteri
besar Selangor yang menyaksikan PAS menolak calon PKR Datuk Seri Wan
Azizah Ismail.
Krisis itu membawa kepada penggantungan dua wakil rakyatnya yang
menyatakan sokongan terbuka terhadap pilihan PKR dan DAP itu untuk
menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim (bawah) dengan Azizah.
Bagaimanapun,
selepas ketegangan hampir dua bulan, sultan Selangor akhirnya memilih
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, orang nombor dua selepas Azizah dalam
parti itu, sebagai menteri besar.
Phahrolrazi menjelaskan isu itu dan peranan PAS sentiasa menjadi tajuk
paling hangat dibincangkan dalam forum dan pertemuan anjuran mereka.
“Ia menjadi sebab kenapa PasMa jadi popular.
“Ia juga jadi landasan untuk anggota parti dan penyokong Pakatan Rakyat mengkritik kepimpinan PAS,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan