Rabu, 12 November 2014

'Petrol RON95 patut diapungkan'

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan wajar memanfaatkan aliran harga rendah minyak mentah dunia dengan mengapungkan harga petrol RON95, mengikut harga pasaran.

Sebelum ini, sudah ada perbincangan bahawa kerajaan berhasrat berbuat demikian, di samping menyediakan dasar subsidi petrol yang lebih khusus kepada kumpulan berpendapatan rendah, dan berikutan kejatuhan harga minyak semasa, mengapa tidak dilakukannya sekarang?

Ketua Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Research, Suhaimi Ilias mengunjurkan kejatuhan harga minyak dunia sekarang ini akan kekal untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

"Melihat kepada keadaan ini, lebih baik apungkan harga runcit RON95.

"Dengan berbuat demikian, harga minyak akan menjadi rendah dan ini merupakan perkhabaran baik untuk rakyat daripada kerajaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kali terakhir harga minyak mentah jatuh ke tahap sekarang ialah pada 2010, dengan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada US$79 setong dan Brent pada US$88.

Ketika itu, RON95 dijual pada harga RM1.85 seliter sebelum dinaikkan kepada RM2.30 seliter sekarang, termasuk subsidi kerajaan sebanyak 28 sen seliter.

Pada RM2.30 seliter, ahli ekonomi menganggarkan tanpa subsidi, harga minyak mentah dunia akan berlegar sekitar US$84.80 setong.

Hari ini, harga minyak mentah Brent US$82.34 setong dan WTI pada US$78 setong.

Pada hakikatnya kerajaan sedang melakukan usaha terbaik untuk membantu keperluan rakyat, dan pada masa yang sama memastikan kemampanan ekonomi negara.

Ini terbukti daripada sasaran mekanisme subsidi minyak akan datang yang bakal diperkenalkan pada Jun tahun depan, serta, pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan ke atas RON95, diesel, gas petroleum cecair, berkuat kuasa mulai April akan datang.

Suhaimi berkata walaupun mekanisme subsidi ini merupakan idea yang baik, ia akan mengambil masa yang lama untuk menjadi kenyataan disebabkan pihak berkuasa perlu menjalankan ujian perintis untuk program itu. - Bernama

Tiada ulasan: