Oleh Suliati Asri
Jolokan
'Negeri Permai Lagi Mempesona' nyata sesuai dengan suasana negerinya
yang permai dan indah.Kepelbagaian tarikan pelancongan yang disajikan
juga pastinya membuatkan kunjungan anda ke Perlis Indera Kayangan
sesuatu yang cukup menyeronokkan.Terletak di utara Semenanjung Malaysia,
negeri kecil itu bersempadan dengan Satun serta Songkhla, Thailand.
Tempat menarik di Perlis pastinya memberikan pengalaman hebat dan menyeronokkan.
>- Padang besar
Padang Besar destinasi mesti dikunjungi kerana pekan di sempadan
tanah air ini adalah titik pertembungan warga Thailand dan Malaysia.
Pekan
Padang Besar adalah syurga membeli-belah yang dipenuhi dengan pelbagai
barangan termasuk tekstil, pakaian, kraftangan, makanan, buah-buahan dan
cenderahati.
Di situ menempatkan platform stesen kereta api yang dikendalikan bersama Malaysia dan Thailand.
Jika mahu mengunjungi Padang Besar, waktu keluar masuk sempadan ialah dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam.
>- Panduan perjalanan
Cara mudah untuk ke Padang Besar adalah dengan menaiki kereta api
Ekspress Langkawi KTM dari Stesen Sentral Kuala Kumpur yang mengambil
masa kira-kira 10 jam.
Jika menggunakan kereta sendiri, dari Lebuh Raya Utara-Selatan
(PLUS), keluar melalui Changlun dan ke lebuh raya Changlun-Kuala Perlis
dan Kangar. Dari Kangar, teruskan perjalanan ke Padang Besar.
>- Taman Rekreasi Gua Kelam
Gua Kelam satu daripada gua batu kapur tertua di Malaysia sepanjang 370 meter berdekatan pekan kecil Kaki Bukit.
Terletak
kira-kira 33 kilometer (km) di utara Kangar, gua ini dulunya terkenal
dengan lombong bijih besi selain menjadi laluan antara penduduk Wang
Kelian dengan Kaki Bukit.
Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan 'laluan di dalam gua' yang
mempesona dan satu-satunya laluan ke gua ialah melalui jambatan gantung.
Jambatan ini menghubungkan Kaki Bukit ke Lembah Wan Tangga, lembah di hujung bertentangan Gua Kelam.
Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris mendapati laluan air yang
terdapat di dalam gua boleh digunakan untuk memindahkan bijih besi dari
lombong berdekatan laluan masuk anak sungai melalui gua bawah tanah ke
Kaki Bukit.
Kini, penduduk tempatan dan pelancong memasuki gua melalui laluan yang diperbuat daripada kayu.
Laluan ini disinari cahaya lampu dan di sepanjang perjalanan, anda dapat menemui tapak aktiviti perpindahan bijih besi.
Ketika berjalan di dalam gua, pengunjung juga akan dapat mendengar
bunyi anak sungai bawah tanah bersama bunyi kelawar dan titisan air
daripada stalaktit yang boleh dikatakan membentuk sebuah konsert semula
jadi.
>- Taman Negeri Perlis
Taman Negeri ini berada di banjaran batu kapur terpanjang di negara ini yang digelar Banjaran Nakawan.
Meliputi Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu seluas 5,000
hektar, pengunjung dapat melalui lereng bukit yang diliputi hutan
tebal, dinding batu yang curam, anak sungai dan gua yang panjang.
Tarikan utama di taman ini ialah Gua Kelam dan Gua Wang Burma yang terletak di kawasan Sentul.
Pembentukan batu kapur berusia 500 tahun ditambah kepelbagaian flora dan fauna memberikan kedamaian tersendiri.
Dapatkan kebenaran pengurusan Taman Negeri Perlis dan khidmat renjer untuk memasuki taman ini.
>- Muzium Kota Kayang
Terletak
di sekitar Bukit Kayang, Bukit Lambong Panah, Bukit Jagat Hutang, Bukit
Wai dan Bukit Menara dalam mukim Kayang iaitu berhampiran dengan
terusan buatan manusia tertua di Semenanjung, ia adalah muzium yang
banyak menceritakan berkaitan sejarah Kota Kayang.
Terletak di tapak pengebumian Sultan Kedah pada kurun ke-16, tapak
muzium itu diberikan Raja Syed Alwi kepada adik lelakinya, Syed Salim
Syed Muhammad al-Jafri iaitu ketua menteri kepada raja.
Di sini, segalanya berkisar mengenai penemuan arkeologi di sekitar Perlis selain koleksi simpanan raja-raja.
Di Musium Kota Kayang, pengunjung dapat melihat binaan makam diraja
yang menggunakan kayu sebagai tanda dan diberi nama Makam Al-Marhum
Kayang.
Bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai lagi koleksi yang menarik menanti di Muzium Kota Kayang.
>- Panduan perjalanan
Dari bandar Kangar, ikut Jalan Kolam ke arah timur sehingga Jalan Tun
Abdul Razak. Muzium ini terletak berdekatan persimpangan. Salah satu
mercu tanda ialah Hospital Kangar.
>- Hutan Lipur Bukit Kubu Kuala Perlis
Hutan Rekreasi atau Hutan Lipur Bukit Kubu ialah destinasi utama
pelancong terutama untuk bersantai dan berehat di hujung minggu.
Ditubuhkan pada 1992, Hutan Lipur Bukit di Hutan Simpan Bukit Papan
seluas 183.70 hektar itu adalah bukit batu kapur dengan ketinggian
antara 150 hingga 200 meter dari paras laut dan mempunyai beberapa gua
semula jadi seperti Gua Ikan dan Gua Harimau.
Di belakang hutan lipur ini terdapat sebuah tasik, dikenali Tasek Putri Kayang seluas dua hektar.
>- Panduan perjalanan
Untuk sampai ke sini, pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri
atau pengangkutan awam seperti teksi dan bas. Hutan lipur ini terletak
di Cadangan Hutan Simpan Bukit Papan dan kira-kira 15km dari Kangar dan
1km dari pekan Kuala Perlis.
- >Taman Ular dan Reptilia Perlis
Taman Ular dan Reptilia Perlis menempatkan pelbagai spesies ular bagi memberi peluang orang ramai mendekati haiwan eksotik ini.
Ada kira-kira 150 ular daripada 34 spesies di taman ini dan daripada
jumlah itu 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies dariluar
negara.
Sebanyak 10 spesies ular di taman itu adalah jenis yang berbisa.
Antara ular di taman itu ialah ular sawa, tedung selar, tedung senduk,
ekor merah, kapak bakau, rusuk kerbau, katam tebu, katam payung dan
punti.
Paling berbisa ialah ular tedung senduk sembur dan paling berat, ular sawa seberat 80 kilogram dengan sembilan meter panjang.
Taman ini turut menempatkan haiwan seperti landak, memerang, biawak
hutan termasuk biawak berekor dua, katak bertanduk, ijok, iguana dan
tuntung.
- >Taman Herba
Taman Herba merangkumi kawasan seluas 12 hektar yang menempatkan
koleksi tumbuh-tumbuhan ubatan yang digunakan oleh penduduk tempatan.
Ia boleh dijadikan 'muzium' tumbuhan ubat-ubatan.
Setakat ini, ada lebih 600 spesies tumbuh-tumbuhan, antaranya tongkat
ali, kacip fatimah, cekor, halia, serai, mengkudu, selasih dan kayu
manis.-metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan