Roketkini.com
IPOH: DAP Perak kesal dengan sikap pilih kasih
polis yang sehingga kini masih tidak mengemukakan sebarang hasil
siasatan terhadap laporan mengenai kenyataan menghasut Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha DAP Negeri Wong Kah Woh berkata, ia menunjukkan
bahawa ada pihak atau individu yang terlepas dari dikenakan sebarang
tindakan meskipun turut sama mengeluarkan kenyataan menghasut atau
mengancam.
“Apabila siasatan dan tuduhan dikenakan terhadap
wakil-wakil Pakatan Rakyat dan ahli akademik, polis dan Peguam Negara
bertindak dengan pantas. malangnya gagal menerapkan kecekapan sama dalam
kes melibat Zahid.
“Sudah 57 hari sejak laporan dibuat. Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar sendiri menyatakan pada 15 Oktober (36 hari lalu)
bahawa kenyataan Zahid sudah dirakam termasuk video juga telah
diperolehi.
Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan
penekanan kepada kesaksamaan undang-undang dan tidak ada individu yang
kebal darinya termasuk Zahid.
Zahid dilaporkan berkata pada 20 September lalu, bahawa
polis akan menyiasat sebarang laporan berkaitan hasutan ‘dalam masa 24
jam’
“Hakikatnya sekarang, polis gagal membuktikan hasil
siasatan tersebut selepas 57 hari, memberi tamparan kepada Zahid dan
Khalid sendiri,” ujar Kah Woh
Justeru itu, Kah Woh yang juga Adun Canning, menggesa
Khalid agar mengumumkan segera hasil siasatan terhadap Zahid kepada umum
untuk membuktikan polis tidak pernah memilih ‘bulu’.
Pada 24 September 2014, Kah Woh bersama pimpinan DAP Perak
membuat laporan polis terhadap ucapan Naib Presiden Umno itu di Tumpat
yang menuduh DAP melaga-lagakan masyarakat Melayu dan Cina ketika
rampasan kuasa BN di Perak, lima tahun lalu.
Zahid dalam ceramah kempen BN di Pengkalan Kubor turut
menuduh ahli DAP membaling batu ke arah kereta Raja Muda Perak, ketika
perhimpunan membantah rampasan kuasa itu. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan