Sabtu, 1 Mac 2014

Tiada berita unsur fitnah, akhbar tetap edar di masjid

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menghentikan pengedaran akhbar mingguan terbitannya di beberapa buah masjid seluruh negeri berikutan kandungan berita yang dipaparkan tidak mengandungi unsur fitnah.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata akhbar itu hanya menyiarkan berita biasa sebagai bahan bacaan bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapat maklumat mengenai program yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.
Sallehen Mukhyi
Katanya akhbar yang mendapat kelulusan penerbitan itu akan dipantau kandungannya dari masa ke masa untuk memastikan ia tidak mengandungi sebarang perkara yang boleh menimbulkan salah faham atau berbaur hasutan.

“Pengedaran akhbar di masjid-masjid di seluruh negeri adalah bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat memandangkan institusi masjid sentiasa dikunjungi umat Islam.

“Sebab itu kita letak akhbar ini di luar masjid, apabila jemaah ingin pulang ke rumah, mereka boleh mengambil akhbar ini untuk dibaca selepas menunaikan solat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sallehen berkata demikian bagi mengulas kenyataan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang menyatakan adalah tidak sesuai apabila akhbar politik itu menjadi ‘propaganda’ kerajaan negeri di masjid yang menjadi tempat umat Islam beribadah dan merapatkan silaturrahim.

Beliau mendakwa tumpuan jemaah pastinya lebih tertarik dengan bahan berupa teks berbanding mendengar isi khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata akhbar itu menjadi medium saluran maklumat kerajaan negeri kepada rakyat memandangkan mereka tidak menerima liputan yang adil daripada akhbar arus perdana lain.

“Kita tiada satu platform yang dapat menyampaikan berita secara terus kepada rakyat dan dengan adanya media ini kita harap rakyat dapat mengetahui segala perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya.EZY

Tiada ulasan: