Khamis, 20 Mac 2014

'Sedikit peruntukan' pada PERKASA - JPM

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyediakan "sedikit peruntukan" kepada NGO pendesak Melayu PERKASA bagi membantu badan tersebut mengadakan satu seminar berkaitan transformasi ekonomi antara kaum dan bangsa demi menuju perpaduan rakyat.

Dalam jawapan bertulisnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata peruntukan itu diberikan kepada program itu yang "dihadiri dan memberi manfaat" kepada 5,000 peserta.

"Jabatan Perdana Menteri tiada menyediakan peruntukan khusus kepada pertubuhan NGO iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa.

"Bagaimanapun, sedikit peruntukan disediakan untuk membantu badan tersebut mengadakan seminar Tranformasi Ekonomi Antara Kaum dan Bangsa Teras Sebagai Asas Perpaduan Rakyat," kata Shahidan tanpa tidak menyebut bila dan lokasi seminar itu diadakan.

Shahidan menjawab soalan Sim Tze Sin (PKR-Bayan Baru) yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan jumlah peruntukan yang diberikan kepada PERKASA oleh Majlis Keselamatan Negara dan Biro Tata Negara berdasarkan program dan aktiviti.

Dalam kenyataan balasnya Sim terkejut dengan pengesahan kerajaan BN yang telah memberikan peruntukan kepada pertubuhan yang dianggapnya sebagai "NGO ekstremis dan sayap Umno yang menjalankan segala kerja ekstremis demi Umno".

Cabar MCA masuk campur


Menurutnya lagi, tindakan memberi sumber kewangan itu bercanggah dengan 'slogan manis' 1Malaysia yang mahu menyatupadukan rakyat kepada NGO yang didakwa antaranya mengancam untuk membakar Bible dan ingin berdemonstrasi di depan gereja.

Ini sekali gus mencabar Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri) untuk menyatakan pendirian partinya berhubung tindakan kerajaan memberi peruntukan menyokong program PERKASA.

"Adakah MCA bersetuju dengan tindakan kerajaan? Jika tidak, apakah tindakan MCA seterusnya? Saya cabar MCA tidak masuk campur kabinet yang menyokong ekstrimis perkauman.

"Jawapan ini jelas menunjukkan bahawa MCA bersekongkol dengan NGO ekstrimis PERKASA," katanya.

Sim memberi contoh apa yang didakwanya sebagai “hipokrasi” MCA apabila beberapa pemimpin parti itu dan PERKASA bersama-sama dalam program tertentu.

Ini tambahnya, apabila calon BN Chew Mei Fun yang berceramah bersama ketua penerangan NGO Melayu itu.

Dalam sidang medianya juga, Sim menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap Shahidan yang tidak berterus terang menjawab jumlah peruntukan yang diberikan kepada PERKASA kerana ia boleh menimbulkan syak bahawa jumlah peruntukan itu "amat tinggi".

Tiada ulasan: