Ini adalah prerogatif kerajaan pusat.
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beliau terkilan dengan keputusan kerajaan persekutuan menamakan Jambatan Kedua Pulau Pinang sempena nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“Saya tak pernah rasa terkilan…Ini adalah prerogatif kerajaan pusat dan kami tidak mempertikaikan prerogatif kerajaan pusat,” katanya dalam sidang media, di sini.
Pada 1 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Jambatan Kedua Pulau Pinang dinamakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis perasmian jambatan itu.
Jambatan sepanjang 24 km itu – 17 km daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan – dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar bagi menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau.
Dalam sidang media itu Lim mengumumkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam Wong Hon Wai sebagai setiausaha politik baharu kepada Ketua Menteri menggantikan Anggota Parlimen Tanjung Ng Wei Aik. Lim berkata majlis angkat sumpah akan diadakan pada 10 Mac ini.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan