MALAYSIAKINI
Pihak berkuasa Malaysia yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat
pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, mengadakan mesyuarat
terakhir di Hotel Sama-Sama hari ini sebelum berpindah ke Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
Pusat media di hotel berkenaan juga dipindahkan ke PWTC memandangkan
hotel itu mempunyai komitmen tempahan daripada pihak yang terlibat dalam
perlumbaan Formula One di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu
depan.
Mesyuarat hari ini dihadiri oleh wakil daripada pihak berkaitan termasuk
MAS, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan serta Angkatan
Tentera Malaysia.
Panglima Angkatan Tentera Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika ditanya
mengenai perkembangan terkini semasa meninggalkan bilik mesyuarat itu
pada pukul 11 pagi, hanya berkata: "Tunggu kenyataan yang akan
dikeluarkan nanti".
Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal
itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, 8 Mac. Pesawat
dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Misi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara yang memasuki
hari ke-16 hari ini masih gagal memberi petunjuk sahih tentang nasib
mereka yang menaiki pesawat itu.
Usaha mengesan pesawat dilakukan di Laut China Selatan sebelum diperluas
sehingga ke sebahagian besar perairan di barat Semenanjung Malaysia
termasuk Lautan Hindi, apabila ada penemuan menunjukkan pesawat mengubah
haluan selepas sistem komunikasinya dimatikan secara sengaja oleh pihak
tertentu di dalam pesawat tersebut dan pesawat terbang selama tujuh jam
selepas itu.
Pencarian kemudian ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara
dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor
selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Laporan terkini memetik Perdana Menteri Australia Tony Abbott sebagai
berkata beberapa serpihan kecil termasuk sekeping palet kayu, dikesan
oleh sebuah pesawat yang terbabit dalam pencarian di selatan Lautan
Hindi.
Abbot dilapor berkata masih terlalu awal untuk mengesahkan kaitan penemuan itu dengan penerbangan MH370.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan