Khamis, 20 Mac 2014

PRK Kajang: Hard battle, fokus hingga saat penghujung



HARAKAHDAILY | FOTO WAN ZAHARI 


Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang berbaki empat hari lagi. Bagi Pakatan Rakyat, fokus PRK kali ini sudah tentu tertumpu kepada 48 peratus pengundi Melayu tanpa mengambil mudah sokongan dari pengundi Cina, India dan lain-lain.

Wartawan Harakahdaily Nazri Abdullah dan Muhammad Faizal mendapatkan pandangan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang berkampung lebih tiga minggu di Kajang mendekati pengundi Melayu.

Harakahdaily: Pada PRU13 lalu, kita lihat Pakatan Rakyat masih lagi bergelut untuk mendapat undi Melayu. Jadi bagaimana Tan Sri melihat mood pengundi Melayu untuk PRK Kajang kali ini.

Tan Sri Muhammad: Sebelum ini semasa PRU13, kita tidak fokus sangat di sini sebab dia terlalu umum. Kali ini kita dekati mereka dialog dengan dia dan dia tersedar lebih.

Di sini kumpulan cerdik pandai. Banyak benda kita cakap yang dia tahu. Isu keselamatan dia nampak kelemahan di peringkat kerajaan pusat. Dia nampak kerajaan gagal guna duit ikut prioriti.

Dia bukan baca akhbar harian sahaja, mereka banyak terdedah dengan maklumat, baca internet, dan mereka ni balance.

Mereka tahu apa berlaku. Cuma tak mahu nak expose. Tapi kalau kita datang rumah dia, dia akan luah yang dia tak puas hati. Maklumlah mereka ini bekas pegawai kerajaan.

Pada pandangan Tan Sri, apakah kelebihan Pakatan Rakyat berdepan PRK Kajang ini.

Tentunya rakyat sudah nampak pengalaman Pakatan Rakyat Selangor memerintah masuk dua penggal. Komitmen bagus, ketelusan bagus, nampak mereka betul-betul kerja.

Mereka boleh banding dengan kerajaan BN dahulu. Ini jadi bualan di kalangan pengundi. Nampaknya mereka berpuas hati dengan Pakatan Rakyat.

Cuma ada lah propaganda dari tv dan media cetak yang dikontrol cuba mengelirukan pengundi. Tinggal lagi orang Kajang ni cerdik dan boleh menilai.

Dia orang tak nampak apa Umno punya perancangan. Dia nampak BN naik harga barang, mereka yakin kalau BN menang mereka lagi teruk. Saya fikir mereka akan bagi puluang kepada Pakatan supaya signal ini dirasai oleh kerajaan pusat.

Apa pandangan Tan Sri terhadap kredibiliti calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Calonnya terbaik, bukan sebab dia isteri Anwar tapi dia sendiri itu adalah seorang leader, presiden PKR, cuma sebab dia terlindung oleh aura Anwar. Dia ini seorang doktor pakar mata yang terbaik ketika belajar di Ireland. Dia pernah jadi Ketua Pembangkang. Dia calon yang paling sesuai. Walaupun pemimpin hebat tapi dia very simple, dekat dengan rakyat.

Bagi pengundi sini, saya rasa mereka nak calon yang mereka boleh harap. Mereka tak fikir soal MB ke apa sebab itu di luar ruang lingkup pemikiran mereka.

Apa pesanan Tan Sri kepada petugas dan jentera parti.

Jangan complacent (berpuas hati), walaupun kita menang dulu. Jangan over confident (terlebih yakin). Jentera perlu terus buat kerja. Kita jumpa seramai mungkin pengundi.

Alhamdulillah saya tengok jentera PKR teratur buat kerja. Dan jentera PAS membantu dengan cukup kuat. Setiap tempat saya pergi, jentera PAS semua ada membantu. Dari pemimpin tinggi sampai kepada petugas-petugas parti.

Apapun kita kena anggap semua pertarungan adalah hard battle (pertarungan sengit). Fokus sehingga saat penghujung.

Kita kena damping pengundi, kalau tak damping itu bahaya. Kita kena dengar, jawab apa sahaja yang ditanya. Jelaskan apa yang keliru.

Seperkara lagi, kita dalam Pakatan jangan termakan propaganda Umno. Mereka sebenarnya dah letih. Mereka sekarang ini guna taktik kotor. Guna agensi kerajaan seperti Felda, Kemas Risda.

Mereka bukan jenis komited lagi nak buat kerja-kerja parti ni. Kalau parti itu dah swastakan kerja-kerja parti, maknanya parti itu sudah dipenghujung hayat. Sudah kurang upaya.

Tiada ulasan: