KAJANG - Pakatan Rakyat (PR) membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tindakan badan tersebut yang menurunkan lebih 200 kain rentang milik mereka yang disifatkan sebagai berat sebelah.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, alasan SPR bahawa kesemua kain rentang yang diturunkan tersebut mengandungi unsur hasutan dan provokasi kerana turut memaparkan gambar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah tidak logik sama sekali.
"Alasan mereka menurunkan kain rentang tersebut kerana mengandungi unsur menghasut dan provokatif kerana turut ada wajah Anwar yang tidak lagi bertanding.
"Tapi kain rentang BN juga selain ada wajah calon iaitu Chew Mei Fun, turut ada wajah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tapi tidak diturunkan pula,"katanya ketika sidang media, semalam.
Beliau berkata selain kain rentang yang memaparkan wajah Anwar diturunkan, beberapa kain rentang dengan slogan tertentu seperti 'You will never walk alone' turut dikenakan tindakan yang sama.
Operasi penurunan itu katanya dilakukan semalam dan sehingga kini terdapat lebih 200 kain rentang beserta 10 papan tanda diturunkan.
"SPR kena bertindak secara profesional dan kena jelaskan tindakan mereka," katanya sambil memberitahu PR telah pun membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya (PRK) Kajang, Zuraida Kamaruddin turut menyelar pihak tertentu yang bermain politik kotor dengan menampal logo parti komponen, DAP di surau dan masjid yang katanya cuba mempengaruhi pengundi Melayu untuk tidak memilih PKR.
"Tindakan ini seolah menggambarkan PR ditunggangi DAP. Mereka sengaja menyerang kawasan Melayu kerana sokongan Melayu kepada kita sudah meningkat.
Beliau dalam pada itu turut menafikan tuduhan BN yang mengatakan tindakan itu dilakukan orang dalaman PR sendiri bagi meraih simpati pengundi, dan seolah-olah menjadi 'mangsa',
"Itu alasan lapuk mereka la, BN kalau nak kalah, sila kalah dengan cara yang terhormat," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata pihaknya sudah menasihatkan penduduk kawasan berkenaan untuk membuat laporan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan