Oleh: Lyn Nasir
KUALA LUMPUR : Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan percaya ancaman yang berlaku kepadanya baru-baru ini ada kena mengena dengan pendedahan mengenai sindiket jenayah yang didalangi pegawai polis.
“Saya tak mahu mengesyaki siapa punya angkara semua ini, tapi saya tahu kerja saya ini adalah untuk mendedahkan polis yang terlibat dengan salahguna kuasa, aktiviti jenayah, kes dadah, pelacuran dan banyak lagi.
“Mungkin yang terlibat dalam kes ini adalah polis ataupun sindiket jenayah. Saya tak nak syak sesiapa, itu kerja polis dan mereka perlu siasat,” ujarnya ketika dihubungi.
Terdahulu, Sanjeevan dalam laman Twitternya kelmarin mendakwa beliau nyaris dilanggar dan diserang dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil dengan nombor pendaftaran WJH 2664.
Malaysiakini melaporkan, Sanjeevan mengadu diekori kereta berkenaan selepas memeriksa sebuah pusat maksiat di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, beliau berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku jam 5.30 petang itu.
Susulan itu, Sanjeevan membuat laporan polis jam 5 pagi tadi di Balai Polis Bahau selepas pulang dari menghadiri sebuah program KEADILAN di Batu Pahat, malam tadi.
“Terserah kepada pihak polis untuk membuat siasatan dalam kes ini.
“Sebelum ini saya buat laporan polis tapi selalu kata dalam siasatan, tapi tidak ada tindakan diambil,” katanya menambah laporan polis dibuat sepanjang tahun lalu bermula Januari sehingga Oktober.
Dalam kejadian Julai tahun lalu itu, Sanjeevan ditembak di dada oleh seorang penunggang motorsikal di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran rumahnya di Bahau.
Kejadian itu berlaku selepas menerima ancaman bunuh berkaitan usaha-usahanya mencegah jenayah, termasuk dakwaannya tentang sendiket jenayah yang didalangi pegawai polis Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan