Harapan rakyat untuk melihat wujudnya konsensus atau rekonsilasi antara kerajaan dengan pembangkang dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara, akhirnya lebur menjadi debu. Anwar Ibrahim secara rasmi semalam mengumumkan bahawa PR menarik balik usaha ke arah itu dan akan terus bersikap "lawan tetap lawan" terhadap kerajaan.
Penarikan diri PR daripada konsensus ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menghukum Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan dan kemudian dihukum penjara lima tahun. Bagi Anwar, hukuman itu bermotifkan politik, biadap, dijalankan secara tergesa-gesa, tidak berdasarkan fakta serta semata-mata bertujuan menghalangnya daripada bertanding di DUN Kajang.
Berikutan hukuman tersebut dan Anwar tidak layak mengemukakan kertas pencalonannya di Kajang, tempat beliau kini digantikan oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan berhadapan satu lawan satu dengan calon BN, Chew Mei Fun.
Konsensus yang bermaksud mewujudkan sebuah kesepakatan yang dipereetujui bersama setelah adanya dialog dan penelitian manakala rekonsilasi pula yang bermaksud tindakan memulihkan persahabatan atau menyelesaikan perbezaan, dibangkitkan oleh PR dan BN sebaik PRU 13 berakhir berikutan mendesaknya isu-isu yang melibatkan kaum, agama, perpaduan dan sebagainya.
Najib sendiri telah menulis dalam blognya pada 25 Februari lalu yang mengatakan kerajaan akan membentangkan pelan rekonsilasi itu dalam beberapa bulan akan datang dengan butirannya sedang dikemaskini serta diperhalusi ketika ini manakala PR sudah lebih awal iaitu sebaik PRU 13 berakhir sudah menyarankan usaha ke arah itu.
Pada umumnya, harapan rakyat juga tinggi untuk melihat adanya konsensus atau rekonsilasi itu berikutan selepas berakhirnya PRU 13, rata-rata rakyat sudah mulai letih dengan pelbagai kecelaruan dalam politik dan ingin melihat sesuatu yang lebih bermakna antara kerajaan dengan pembangkang buat sementara sebelum kembali bertarung dalam PRU 14 yang akan berlangsung kira-kira empat tahun lagi.
Namun haruslah diakui bahawa hukuman keatas Anwar ini menggagalkan segala-galanya. Walaupun ia merupakan keputusan mahkamah yang sepatutnya bebas tetapi sesiapa pun tidak mampu menolak adanya campurtangan penguasa dalam hal ini kerana ianya begitu jelas terbentang di depan mata.
Bermula dengan tindakan melewatkan tarikh penamaan calon oleh SPR, ia kemudian dijadikan ruang untuk menetapkan tarikh perbicaraan secara tergesa-gesa dengan hakim Mahkamah Rayuan terpaksa bersidang sehingga jam 7 malam semata-mata agar hukuman dapat dijatuhkan sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Kajang.
Lebih dari itu, peguam yang yang dikenali sebagai peguam UMNO dan didapati berada di rumah Najib ketika Saiful mengadu mengenai kejadian liwat yang melibatkan dirinya, Shafee Abdullah turut diletakkan sebagai ketua pasukan pendakwa di Mahkamah Rayuan melalui kebenaran khas.
Dalam hal ini, tidak dapat dielakkan persepsi bahawa Najib begitu takut untuk membenarkan Anwar bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor. Meski pun pada awalnya BN mengumumkan bahawa mereka akan menghadapi Anwar di Kajang secara "gentleman" tetapi terbukti akhirnya Najib langsung tidak "gentleman".
Jika Najib benar-benar seorang yang "gentleman" dan memikirkan soal kepentingan negara dan rakyat melalui konsensus atau rekonsilasi melebihi kepentingan mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri, mahkamah sepatutnya dibiarkan bebas dan benar-benar dilihat bebas daripada campurtangan pemerintah.
Tidak perlu menggunakan mahkamah melalui canpurtangan yang begitu ketara untuk menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang. Biarkan beliau bertanding dan menang di Kajang. Jika selepas itu, beliau menjadi Menteri Besar Selangor, ia juga harus dibiarkan kerana ia adalah urusan dalaman PKR dan PR.
Dan sekiranya selepas itu, berlangsung perbicaraan di Mahkamah Rayuan, jangan dibimbangi apa pun keputusannya. Jika Anwar didapati tidak bersalah, terimalah seadanya tetapi sekiranya hukuman bersalah itu dijatuhkan ketika Anwar memegang jawatan Menteri Besar, biarkanlah undang-undang berfungsi sepenuhnya.
Najib dan BN tidak perlu takut untuk menerima cabaran hukuman bersalah dijatuhkan ketika Anwar menjadi Menteri Besar kerana UMNO sebenarnya sudah sarat dengan pengalaman beberapa bekas Menteri Besar Selangor yang pernah dijatuhkan hukuman dan terpaksa berundur sebelum ini. Harun Idris dijatuhkan hukuman kerana suatu kes rasuah ketika menjadi Menteri Besar, Mat Taib dipaksa berundur kerana kesalahan undang-undang di Australia juga ketika menjadi Menteri Besar dan Abu Hassan juga diminta berundur kerana ada masalah peribadi ketika menjawat jawatan Menteri Besar.
Lagi pula, lebih mudah memberi kefahaman kepada rakyat berhubung hukumah mahkamah ketika segala ruang dan kebebasan sudah diberi sepenuhnya, berbanding hukuman yang dijatuhkan semata-mata untuk menyekat di permulaan langkahnya lagi.
Anwar dan PR kini bukan saja mengumumkan menarik balik persetujuan untuk konsensus dan rekonsilasi itu, bahkan sudah pun memulakannya ketika memulau jamuan teh selepas pembukaan sidang Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong semalam, bahkan juga memboikot sidang Parlimen hari pertama hari ini.
Selepas ini,yang nyatanya tiada lagi perdamaian antara PR dengan BN atas apa isu jua pun. Ia sudah bertukar menjadi "lawan tetap lawan" yang berpanjangan. Sehingga pilihanraya akan datang suhu politik nampaknya sentiasa panas dan membara. Najib juga sudah boleh menyimpan semua idea yang mahu dibentangkannya mengenai rekonsilasi atau konsensus ini.
Di mata rakyat, kerana berjiwa kecil dan takut menerima cabaran, Najiblah yang dianggap membunuh usaha perdamaian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan