Isnin, 10 Mac 2014

Marah Benar Zahid Hamidi Dengan Imigresen....


Oleh Shahbudin Husin


Insiden kehilangan pesawat MH370 yang masih menjadi misteri sehingga kini, akhirnya turut mendedahkan beberapa kelemahan lain dalam kerajaan.

Dari proses mencari dan menyelamat yang dianggap perlahan sehingga kerajaan China yang mana seramai 138 rakyatnya turut berada dalam pesawat itu telah menghantar satu pasukan daripada pelbagai kementerian ke negara ini untuk menggesa misi menyelamat dipercepatkan, sistem keselamatan udara, kotak hitam yang ketinggalan zaman sehinggalah kelemahan kawalan imigresen yang paling ketara.

Daripada seramai 239 penumpang pesawat MH370 itu, dua daripadanya adalah pemegang pasport palsu yang dilaporkan hilang di Thailand oleh dua pemiliknya iaitu warganegara Itali dan Austria sejak 2013 lagi. Oleh itu, amatlah memalukan bagaimana pemegang pasport palsu itu gagal dikesan dan begitu mudah melepasi pintu Imigresen.

Dalam hal ini tidaklah menghairankan bagaimana Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi kelihatan begitu marah dengan kejadian yang memalukan ini. Sambil menegaskan siasatan terperinci akan dijalankan mengenainya, beliau juga menyelar pegawai-pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA dengan berkata, "saya masih hairan takkan pegawai di KLIA tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam Asia".

Sementara kita semua bersimpati, sedih dan berdoa mengharapkan keajaiban di sebalik misteri kehilangan pesawat ini yang sudah berlalu beberapa hari tanpa sebarang jawapan, kita juga sebenarnya sedih dengan pelbagai kelemahan dalam jentera pentadbiran kerajaan, terutamanya berkaitan Imigresen ini.

Dan selalunya begitulah, hanya apabila ada tragedi barulah pelbagai kelemahan terbongkar. Jika tidak, semuanya dianggap biasa-biasa saja.

Selain kelemahan yang melibatkan dua pemegang pasport curi ini, sejak bertahun-tahun pula Jabatan Imigresen sudah terdedah dan didedahkan dengan pelbagai kelemahan yang melibatkan kemasukan pendatang asing daripada pelbagai negara sehingga menimbulkan macam-macam gelaja sosial yang tidak diingini.

Menteri sudah kerap bertukar tangan, Ketua Pengarah Imigresen juga sudah bersilih ganti tetapi masalah kemasukan pendatang asing ini masih juga gagal diatasi dengan sebaiknya. Sekarang dengan tumpuan dunia mengenai lolosnya dua pemegang pasport curi yang dikesan berikutan dengan tragedi hilangnya pesawat itu, ia sekali lagi mendedahkan negara kita kepada kecaman dan pertikaian antarabangsa.

Kiranya Zahid Hamidi ingin meluahkan kemarahan dan memperbetulkan kelemahan di Jabatan Imigresen ini, ada baiknya beliau melakukannya secara menyeluruh supaya di masa-masa akan datang, andai ditakdirkan lagi berlaku sesuatu tragedi, mudah-mudahan ia tidak lagi terkait dengan jabatan itu.

Jika kita masih ingat, ketika tragedi pembunuhan Altantuya Sharibu yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, rakan baik Najib Razak beberapa tahun lalu, isu yang melibatkan Jabatan Imigresen turut dikaitkan sama. Model dari Mongolia itu sah-sah berada di negara ini, pergi ke rumah Razak Baginda untuk menuntut upah terjemahan yang dijanjikan kepadanya, menginap beberapa hari di hotel dah kemudian didapati dibunuh dengan cara diletupkan badannya dengan bom C4 tetapi akhirnya rekod kemasukannya di Jabatan Imigresen didapati dipadamkan.

Beliau seolah-olah tidak pernah memasuki negara kita. Sehingga ini bagaimana rekod kemasukannya boleh terpadam, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang mengarahkannya masih lagi menjadi misteri kepada dunia.

Kini dengan berlakunya tragedi MH370, seiring dengan kehilangan pesawat itu yang masih menjadi misteri, bagaimana dua pemegang pasport curi yang berwajah Asia tetapi menggunakan identiti bangsa Eropah boleh melepasi halangan Imigresen, sekali lagi menjadikan Jabatan Imigresen diselubungi misteri.

Lalu, kemarahan Zahid Hamidi sebagai menteri memang ada kewajarannya.

Sambil mencari kelemahan mengenai bagaimana pemegang pasport curi boleh terlepas begitu saja, beberapa kelemahan lain seperti melibatkan kemasukan pendatang asing dan bagaimana rekod Altantuya yang dibunuh boleh terpadam, haruslah juga didedah dan diperbetulkan demi imej dan nama baik negara.

Jika semua ini dapat dilakukan oleh Zahid Hamidi, ia merupakan pahalanya paling besar kepada maruah negara-http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: