Isnin, 17 Mac 2014
Mahfuz gesa kerajaan beritahu lokasi MH370, tawar diri jadi tebusan
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan mendedahkan lokasi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dipercayai dirampas supaya ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dapat dijadikan tebusan sebagai tukaran dengan 239 penumpang dan anak kapal.
Beliau yang juga ketua penerangan PAS berkata, mereka mengesyaki rundingan antara kerajaan dengan perampas pesawat itu kini sudah bermula.
"Jika (pesawat) itu di sesuatu tempat, beritahu kami di mana, kami bersedia menjadi tebusan untuk ditukarkan dengan 239 penumpang.
"Kita bersedia jadi tebusan. Saya minta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk mengaturkan kita membuat tawaran dengan pihak perampas," kata Mahfuz di Parlimen hari ini.
Terdahulu, di Dewan Rakyat Mahfuz bertanya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan dua rakyat Iran yang merupakan antara penumpang MH370 memasuki negara dengan menyamar sebagai pelajar.
Mahfuz berkata, apa yang penting ialah keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370.
"Sekiranya betul pesawat itu dirampas maka sudah tentu ada rundingan yang dilakukan.
"Saya menawarkan diri untuk dijadikan sebagai tukaran kepada penumpang dan anak kapal kerana yang penting adalah keselamatan mereka," katanya.
Mahfuz juga mempersoalkan sejauh mana kerajaan dapat memastikan bantuan yang diminta kepada 13 negara lain dapat dilakukan tanpa ada unsur mengambil kesempatan.
"Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai hal keselamatan dalam negeri apabila meminta bantuan negara lain.
"Bagaimana kita mahu memastikan keselamatan sedangkan mereka sudah lihat banyak kelemahan negara, dengan radar dan pasport curi," katanya.
Beliau berkata, ia patut dilakukan bagi memastikan tiada elemen sabotaj atau risikan terhadap negara.
Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Malaysia banyak kali menolak bantuan risikan Interpol bagi membantu menyiasat kehilangan pesawat MH370.
Hari ini, kenyataan Kementerian Pengangkutan menyatakan, negara yang menyertai misi mencari dan menyelamat kini bertambah kepada 26 negara, selain Malaysia, negara lain ialah Australia, Bangladesh, Brunei, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Turkmenistan, UAE, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Uzbekistan dan Vietnam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan