KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai sogokan kepada rakyat di negara ini.
“Sebenarnya, ramai juga yang memberitahu saya bahawa BR1M adalah sogokan, terutama apabila diberi sebelum pilihan raya.
“Ini samalah seperti memberi plakad untuk dipamerkan apabila anda lalu. Ia tidak mencerminkan perasaan atau sentimen sebenar.
“Perasaan itu lebih baik dinyatakan melalui undi mereka. Undian mereka menunjukkan kematangan masing-masing,” katanya dalam tulisan di blognya, Chedet.cc semalam.
Katanya, kegagalan kerajaan untuk memahami sentimen rakyat, memberi akibat buruk kepada ahli politik.
“Menipu diri sendiri adalah lebih buruk,” tulisnya yang menjadi perdana menteri paling lama di Malaysia.
Menurut Mahathir, kerajaan berdepan defisit dan hutang yang besar sekiranya pemberian BR1M yang berjumlah RM8.4 bilion diteruskan.
“Pemberian RM500 seorang kepada 7 juta rakyat melibatkan kos RM3.5 bilion. Apabila jumlah ini ditambah kepada RM1,200 (setiap orang) kos akan menjadi RM8.4 bilion.
“Itu adalah satu jumlah yang banyak, namun masih ramai orang miskin di negara ini. Adakah kita (kerajaan) memerlukan BR1M (untuk mendapat sokongan) walaupun tanpanya, kita masih mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat,” katanya.
“Jika rakyat tidak memberi sokongan, bermakna mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu walaupun mendapat BR1M. Jadi, cari sebab mengapa rakyat tidak berpuas hati dan anda (kerajaan) akan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Najib satu ucapan di perhimpunan Jabatan Perdana Menteri hari ini bagaimanapun mempertahankan langkah berkenaan, yang disifatkannya sebagai subsidi khusus kepada golongan sasaran dan untuk membantu memacu ekonomi dalam negara.
Laporan laman The Malaysian Insider yang memetik ucapan Najib itu menyebut, dengan mengurangkan jumlah keseluruhan subsidi melalui bantuan kepada golongan sasaran adalah lebih baik.
“Melalui BR1M dan BR1M 3.0, lebih 7 juta isi rumah (menerima BR1M) berjumlah RM4.6 bilion. Pada hari pertama, ramai yang pergi (membeli-belah) ke Sogo, ramai yang pergi ke pasar minggu,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan