Sabtu, 22 Mac 2014

Lelaki Kelantan malas, suka lepak di warung kopi, kata Ku Li

THE MALAYSIAN INSIDER




























Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini mengakui lelaki Kelantan malas dan menjadikan wanita atau isteri mereka sebagai “ketua” keluarga dengan bekerja mencari rezeki serta memenuhi keperluan hidup keluarga.

Bekas menteri kewangan itu berkata, daripada pemerhatiannya situasi itu membanggakan kerana melihatkan kehebatan wanita Kelantan dengan menikmati kebebasan yang merupakan sesuatu perkara yang dituntut dan diperjuangkan oleh wanita Barat.

“Kita sering dipaparkan dengan gambaran mengenai kegigihan wanita Kelantan berniaga dan bercucuk tanam sedangkan suami mereka melepak di warung, menghabiskan waktu dengan aktiviti tidak bermanfaat dan tidak menepati keutamaan.

“Kenyataan ini menghina lelaki Kelantan dan saya sebagai salah seorang yang terkait tidak suka dengannya tetapi terpaksa menerima kerana sememangnya terdapat lelaki Kelantan yang begitu sikapnya,” katanya semasa merasmikan pelancaran buku Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Petaling Jaya hari ini.

Beliau yang juga mesra dengan panggilan Ku Li berkata, bekas menteri besar Kelantan sendiri pernah mengeluarkan kata-kata pedih menyindir lelaki Kelantan yang malas bekerja dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, senario itu lebih ketara pada waktu dahulu dan ia masih wujud di zaman sekarang walaupun sudah tidak begitu ketara.

“Malah seorang pemimpin masyarakat memberikan analogi yang cukup ekstrim dengan menyamakan lelaki Kelantan dengan ‘bapa ayam’ yang hanya suka berseronok dan urusan menjaga anak; mencari makan dan sebagainya dipikul oleh ‘íbu ayam’ semata-mata.

“Terdapat juga perspektif yang menyatakan mengenai kebanggaan wanita Kelantan yang sanggup bekerja demi menanggung suami mereka yang tidak bekerja. Sikap begini mendorong wanita Kelantan menjadi gigih, berani dan cekal,” katanya.

Pada majlis itu juga, Tengku Razaleigh mengungkapkan ciri-ciri wanita Kelantan yang kebanyakan daripada mereka lemah lembut dan mempunyai rupa paras yang cantik.

Katanya, perkara itu diungkapkan bukan atas dasar syok sendiri tetapi turut diakui mereka yang bukan berasal dari Kelantan.

“Satu waktu dahulu, sering diungkapkan bahawa sesiapa sahaja yang bekerja di Kelantan akhirnya akan beristeri dengan wanita Kelantan. Kononnya, rupa paras dan sikap kewanitaan ini akan benar-benar membuatkan lelaki jatuh hati kepada mereka.

“Malah, satu waktu dahulu saya pernah mendengar anekdot mengenai ‘SKMK’ di kalangan orang lelaki di Kelantan. Kononya apabila orang dari luar Kelantan, apabila ‘Sampai Kelantan Mesti Kahwin’ dengan wanita Kelantan,” katanya yang mengaitkan sebuah syarikat bas di Kelantan, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan – SKMK.

Beliau berkata di sebalik ciri-ciri positif wanita Kelantan yang disebutkan, jika perihal tersebut dijelmakan dalam keadaan tidak baik akan membawa padah.

Katanya, sifat nekad dan keberanian yang dimiliki wanita Kelantan menguatkan tekad mereka untuk “berdikari” namun ia turut menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga yang dilihat tinggi secara relatif di Kelantan.

“Kita tidak boleh alpa dan membangga diri kerana sikap dan kehebatan ini, seandainya ditunjuk atau dijelmakan dalam keadaan tidak baik akan membawa padah.

“Oleh demikian, sikap unik, hebat dan istimewa ini perlu dipupuk dan dijaga supaya ia berperanan untuk mempertahankan kesusilaan dan keharmonian sehingga mampu mengangkat perkara negatif dari melemahkan masyarakat,” katanya.

1 ulasan:

[O] X berkata...

Ku Li, Raja lelaki kelantan Malas jugak kah?