Rabu, 5 Mac 2014

Kenyataan hakim terhadap Anwar tak wajar – N Surendran

KEADILAN DAILY

SURENDRAN
KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran menyelar kenyataan dikeluarkan mahkamah berhubung rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghalang Shafee Abdullah untuk menjadi pendakwaraya dalam perbicaraan Fitnah 2 Anwar Ibrahim.

Kenyataan dikeluarkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusuf Wahi yang menyatakan tindakan Anwar sengaja melambatkan proses perbicaraan, sebagai tidak adil dan tidak wajar.

“Saya merujuk kepada Keputusan Mahkamah Rayuan 3 Mac lalu yang menolak permohonan Anwar Ibrahim untuk membatalkan peguam Umno, Shafee Abdullah daripada menjadi pendakwaraya dalam rayuan kerajaan berhubung kes Fitnah 2.

“Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi mendakwa bahawa permohonan Anwar telah dibuat untuk melambatkan rayuan kerajaan dan merupakan penyalahgunaan proses.

“Kenyataan ini adalah tidak wajar dan tidak perlu,” kata Surendran

Surendaran yang juga seorang peguam menegaskan, hakim sepatutnya menjalankan tugas selari dengan prinsip undang-undang tanpa pengaruh politik pemerintah.

Tambahnya, umum mengetahui bahawa Shafee yang bakal menegetuai pendakawaan bagi kes Fitnah Anwar adalah peguam peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

“Tugas hakim adalah untuk mendengar semua permohonan dan hujah bagi pihak tertuduh, dan kemudian membuat keputusan.

“Apatah lagi dalam kes seperti ini di mana Anwar adalah mangsa tuduhan bermotifkan politik yang dibawa dengan galakan dan hasutan kerajaan memerintah .

“Prinsip perundangan jenayah bahawa, orang yang dituduh harus dibenarkan peluang untuk mempertahankan dirinya, hak untuk perbicaraan yang adil adalah prinsip asas sistem keadilan jenayah kita.

“Kita menyeru kerajaan BN dan PM Najib Razak, yang mana peguam peribadinya adalah pendakwa bagi kes Fitnah Anwar, untuk menggugurkan tuduhan rekaan terhadap pemimpin pembangkang, ” katanya.

Tiada ulasan: