'Jangan malu mohon kepada ALLAH' Fathah Fasihah bersama ibunya menaiki beca yang dikayuh bapanya sebagai ‘hadiah’ kepada kejayaan pelajar itu yang memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran SPM 2013.


SABAK BERNAM – Rahsia seorang ustazah Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) menunaikan solat hajat dan membaca surah Yasin sepanjang anaknya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi kunci utama kepada kejayaan, Fathah Fasihah Mohd Mutalabisin, 18, apabila memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran.

Kejayaan itu lebih bermakna, apabila Fathah Fasihah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Simpang Lima diumumkan sebagai pelajar terbaik 2013 apabila memperoleh gred A satu (cemerlang tertinggi) kecuali mata pelajaran biologi.

Fathah Fasihah berkata, sejak dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lagi, ibunya, Siti Hazar Mohammad Ayon, 46, tidak pernah mengabaikan tanggungjawab bermunajat kepada ALLAH agar anak-anaknya memperoleh keputusan cemerlang.

“Kalau tanya kepada saya, mungkin kejayaan ini adalah berkat doa ibu yang tak pernah putus-putus bermohon kepada ALLAH agar saya dan adik-beradik lain dapat menjawab peperiksaan dan lulus dengan cemerlang,” katanya.

Fathah Fasihah berkata, ibunya yang mengajar di Kafa Taman Seri Indah, Sungai Besar menjadi pendorong utama kejayaannya selain sokongan dan dorongan daripada bapanya, Mohd Mutalabisin Maryaman, 49, serta guru-guru di sekolah.

“Saya bukanlah pelajar yang fokus di dalam kelas, tetapi apabila pulang dari sekolah, saya akan mengulang kaji pelajaran dan pastikan apa yang diajar guru difahami dengan membuat banyak latihan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Fathah Fasihah yang bercita-cita menjadi doktor gigi berkata, dia juga mengamalkan bacaan surah al-Quran sekurang-kurangnya 10 muka surat setiap hari bagi mendekatkan diri kepada ALLAH dan terbukti amalan itu berkesan serta memudahkannya mengingati setiap pelajaran yang diajar guru.
“Kadang-kadang saya ada juga bangun malam untuk Qiamullail. Tapi amalan yang saya buat dari dulu ialah membaca al-Quran kerana saya yakin apabila kita dekat dengan-Nya, Insya-ALLAH semua yang kita usahakan akan diberkati,” katanya.

Siti Hazar berkata, berkat mengamalkan solat hajat dan bacaan Yasin, tiga anaknya itu berjaya dalam pelajaran dan beliau ingin berkongsi rahsia kepada umat Islam lain agar tidak sesekali melupakan ALLAH dalam setiap perbuatan yang dilakukan.

“Kita ada Pencipta, jangan malu mohon kepada ALLAH kerana Dia sebaik-baik penentu. Sebagai hamba, kita hanya mampu berusaha, ikhtiar dan berdoa, tetapi segala-galanya atas kehendak-Nya,” katanya.