Jumaat, 14 Mac 2014

Bomoh’ jadi trending seluruh dunia dengan 200,000 tweet, kata BBC

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Tindakan kumpulan bomoh mengadakan upacara di KLIA memalukan Malaysia. Gambar fail.Tindakan kumpulan bomoh mengadakan upacara di KLIA memalukan Malaysia. Gambar fail.


























Perkataan ‘bomoh’ menjadi trending seluruh dunia dan menerima retweet 200,000 kali dengan kebanyakannya mendakwa ia perbuatan yang memalukan, lapor BBC.

“Ia sangat memalukan ‘Malaysia’ dan ‘bomoh’ berada dalam satu ayat,” kata satu tweet.
“Bodoh, memalukan dan takbur,” kata tweet lain di BBC Trending.

Tweet berkenaan dihantar berikutan sekumpulan bomoh datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak dua kali mendakwa dijemput pemimpin kerajaan untuk membantu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370.

Tetapi, mereka kemudian mengakui tindakan itu dilakukan atas inisiatif sendiri.

Dengan menggunakan kelapa, teropong buluh, pancing terbang dan tikar mengkuang, bomoh Ibrahim Mat Zin dilaporkan melakukan ritual dan membaca mentera yang kononnnya akan melemahkan roh jahat.

Manakala, mereka yang mudah tertipu mungkin akan mengunjungi laman sesawang Bomoh Gadgets Malaysia.

Antara barang yang dijual adalah tikar terbang pada harga RM99,900. Laman web itu turut menawarkan 20% diskaun pembelian bubu ajaib dan buluh sakti.

Aktivis kebudayaan dari Malaysia, Eddin Khoo dilaporkan berkata, pelakuan bomoh itu sungguh mengejutkan dan ia menambah masalah lain kepada sosiopolitik Malaysia yang berlarutan sejak 40 tahun lalu, lapor BBC.

Katanya, selama ini Islam ditafsirkan dengan cara mistik dan sejak kebelakangan ini perbuatan berkenaan semakin ketara.

Khoo berkata, kebanyakan ahli politik meminta bantuan bomoh bagi memajukan diri dalam kerjaya dan kali ini bomoh juga tampil dalam krisis negara, kata BBC.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Ahmad Fazrin Yahaya menyelar pelakuan bomoh itu dan ia memalukan Melayu Islam dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut mempersoalkan pihak tertentu di Putrajaya yang membenarkan upacara sedemikian dilakukan di KLIA.

Katanya, kehadiran bomoh berkenaan menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam menafikan Putrajaya yang membayar khidmat bomoh itu dan ia bukan arahan daripada kerajaan.

Tiada ulasan: